KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) berjaya melahirkan lebih 100,000 alumni yang kini mencipta kejayaan dalam pelbagai bidang profesional serta menjadi tenaga pakar berkualiti di dalam dan luar negara.
Naib Canselor UMS, Datuk Prof. Dr. Kasim Mansor berkata, pencapaian itu membuktikan keupayaan universiti tersebut dalam melahirkan graduan bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mempunyai nilai kepimpinan, adab dan kemanusiaan yang tinggi.
Menurut beliau, ramai alumni UMS kini kembali berkhidmat sebagai tenaga pengajar di universiti itu sendiri selain menyumbang kepakaran di institusi pengajian tinggi lain di peringkat nasional dan antarabangsa.
“Alumni merupakan aset penting universiti serta bukti kejayaan UMS dalam melahirkan pemimpin masyarakat yang berkualiti dan berdaya saing,” katanya ketika berucap pada Program Santai Alumni UMS di sini, hari ini.
Program yang menghimpunkan alumni, pentadbiran universiti serta pimpinan mahasiswa itu berlangsung dalam suasana penuh harmoni dan semangat kekeluargaan.
Dalam ucapannya, Kasim turut merakamkan penghargaan atas penganjuran program tersebut yang disifatkan sebagai platform penting dalam mengukuhkan hubungan antara alumni, universiti dan mahasiswa sebagai sebuah keluarga besar UMS.
Beliau berkata, mahasiswa perlu mencontohi pengalaman serta nilai kepimpinan yang dibawa oleh alumni dalam membentuk jati diri sebagai pemimpin masa hadapan.
Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa setiap perbezaan pandangan perlu diraikan melalui pendekatan dialog, hikmah dan diplomasi, bukannya konfrontasi.
Program itu turut diserikan dengan pengisian khas oleh Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Azrul Ibrahim yang menyentuh mengenai peranan anak muda dalam menyumbang kepada pembangunan negara dan masyarakat.
Beliau menegaskan generasi muda perlu menjadi agen perpaduan, membawa suara masyarakat secara berhemah serta memainkan peranan penting dalam memperkukuh keharmonian sosial.
Dalam pada itu, Kasim menegaskan komitmen UMS untuk terus melahirkan graduan yang seimbang dari sudut akademik, kepimpinan dan nilai kemanusiaan selaras dengan aspirasi Sabah Maju Jaya (SMJ).
Beliau turut menyeru alumni agar terus menyumbang idea, jaringan serta pengalaman demi pembangunan universiti dan masa depan UMS yang lebih cemerlang.






