KUNDASANG: Pengguna di Sabah akan menikmati kawalan harga bagi 12 jenis barangan keperluan menerusi pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena kemuncak sambutan Pesta Kaamatan pada 30 hingga 31 Mei dan Hari Gawai 1 Jun 2026 bermula 27 Mei hingga 4 Jun ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pelaksanaan skim selama sembilan hari itu bertujuan memastikan rakyat memperoleh barangan keperluan pada harga berpatutan selain menjamin kestabilan bekalan di pasaran sepanjang musim perayaan.
Beliau berkata, sebanyak 12 jenis barangan disenaraikan di bawah SHMMP Kaamatan 2026 bagi Sabah berbanding 10 barangan pada tahun lalu dengan tambahan dua barangan baharu iaitu halia tua import dan ubi kentang dari China.
“Penambahan dua barangan ini dibuat berdasarkan keperluan semasa pengguna serta hasil perbincangan bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), agensi berkaitan dan pemain industri.
“Tempoh pelaksanaan skim ini ditetapkan dengan mengambil kira kepentingan pengguna dan komuniti peniaga supaya pengguna menikmati harga berpatutan manakala peniaga tidak terbeban dengan tempoh pelaksanaan terlalu lama,” katanya pada sidang media Pengumuman Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (Pesta Kaamatan, Gawai) di Perkarangan Pekan Kundasang, hari ini.
Antara barangan yang dikawal di Sabah ialah babi hidup, daging babi (daging dan lemak), daging babi (perut), daging kerbau import dari India, kepak ayam, cili kering keriting, bawang merah kecil India, bawang putih China, bawang kuning besar, bawang merah besar, halia tua import dan ubi kentang China.
Turut hadir sama pada pengumuman itu, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Dr. Joachim Gunsalam dan Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin.
Sementara itu, bagi SHMMP Hari Gawai 2026 di Sarawak, sebanyak 12 jenis barangan turut disenaraikan berbanding 11 pada tahun lalu dengan tambahan satu barangan baharu iaitu daging kerbau import dari India.
Barangan yang dikawal di Sarawak meliputi babi hidup, daging babi (daging dan lemak), daging babi (perut), ayam tua hidup, kepak ayam, kubis bulat import, bawang putih China, cili kering keriting, kelapa biji, kelapa parut dan santan.
Menurut Armizan, analisis perbandingan harga bagi tahun 2026 berbanding tahun sebelumnya menunjukkan trend harga lebih stabil apabila enam barangan di Sabah mencatatkan penurunan harga manakala bagi Sarawak, lima barangan merekodkan penurunan harga dan tiga lagi kekal pada kadar semasa.
Katanya, skim itu akan dikuatkuasakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723] dengan pegawai penguat kuasa KPDN ditempatkan di pasar awam, pasar tani, pasar tamu dan pusat membeli-belah bagi memantau pematuhan harga sepanjang tempoh pelaksanaan.
“Mana-mana individu yang menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM500,000,” katanya.
Beliau turut mengingatkan peniaga supaya menggunakan label merah jambu bagi semua barangan harga terkawal bagi memudahkan pengguna mengenal pasti barangan yang berada di bawah skim kawalan harga.
Dalam pada itu Armizan turut memaklumkan KPDN akan terus menjalinkan kerjasama bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan jug pemain industri bagi memastikan bekalan barangan yang disenaraikan adalah mencukupi sepanjang tempoh pelaksanaan skim.
“Selain itu, melalui penubuhan Jawatankuasa Teknikal Penstabilan Harga Barang dan Bekalan Antara Kementerian, tindakan intervensi akan dilaksanakan dalam mengurangkan isu-isu terkait harga dan bekalan sekali gus membantu menangani kos sara hidup rakyat,” katanya.
Selain SHMMP, KPDN turut melaksanakan beberapa program khusus terkait dengan ikhtiar kos sata hidup di bawah inisiatif Payung RAHMAH seperti Program Jualan RAHMAH MADANI (PJRM) dan Program Servis Ihsan MADANI@Petronas AutoExpert (SIM@PAX).






