Kaji Semula Tarif Elektrik Sabah, Pertimbang Kenaikan Separuh Dahulu – Mohd Isa

Kaji Semula Tarif Elektrik Sabah, Pertimbang Kenaikan Separuh Dahulu – Mohd Isa

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kerajaan disaran mengkaji semula pelaksanaan kenaikan tarif elektrik di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan yang berkuat kuasa mulai 1 Februari 2026 susulan kebimbangan terhadap kesan langsung kepada kos sara hidup rakyat.

Research Fellow, Centre for Economic Development and Policy (CEDP), Dr. Mohamad Isa Abd Jalil berkata, kenaikan tarif purata asas daripada 34.52 sen/kWj kepada 39.70 sen/kWj atau sekitar 15 peratus tidak wajar dilihat semata-mata dari sudut keperluan operasi dan penaiktarafan sistem bekalan elektrik.

Menurut beliau, kerajaan juga perlu mengambil kira tekanan tambahan terhadap perbelanjaan bulanan isi rumah, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang sedang berdepan kos sara hidup tinggi.

Di atas kertas, angka kenaikan ini mungkin kelihatan sederhana. Namun pengalaman sebahagian pengguna menunjukkan kesan yang jauh lebih besar apabila bil akhir yang diterima meningkat secara mendadak,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, rungutan pengguna di media sosial yang mendakwa bil elektrik meningkat hampir sekali ganda tidak boleh dipandang ringan walaupun dakwaan itu masih memerlukan pengesahan melalui data rasmi.

Katanya, apabila pengalaman sebenar rakyat tidak selari dengan unjuran rasmi kerajaan, maka dasar berkaitan perlu disemak semula bagi memastikan pelaksanaannya lebih adil dan tidak membebankan pengguna.

“Bagi isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana, tambahan RM50, RM100 atau RM150 sebulan bukan jumlah kecil kerana ia boleh menjejaskan perbelanjaan makanan, pendidikan anak, pengangkutan, kesihatan dan simpanan keluarga,” katanya.

Dr Mohamad Isa turut menjelaskan bahawa kenaikan bil elektrik memberi kesan langsung kepada pendapatan boleh guna isi rumah dan akhirnya boleh menjejaskan ekonomi tempatan apabila perbelanjaan pengguna terhadap barang dan perkhidmatan lain semakin berkurang.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan kenaikan tarif secara berperingkat dengan mengurangkan kadar kenaikan semasa kepada separuh terlebih dahulu.

“Jika kenaikan semasa sekitar lima sen/kWj, kerajaan boleh mempertimbangkan kenaikan sekitar 2.5 sen/kWj sahaja buat sementara waktu. Pendekatan ini lebih munasabah kerana ia masih membolehkan usaha penambahbaikan sektor tenaga diteruskan tanpa memberi kejutan kos yang besar kepada rakyat,” katanya.

Beliau turut menggesa kerajaan menjalankan audit impak tarif secara bebas menggunakan data bil sebenar sebelum dan selepas pelaksanaan tarif baharu bagi menilai jumlah pengguna yang mengalami kenaikan kecil, sederhana atau luar biasa.

Menurutnya, semua kes peningkatan bil melebihi 50 peratus berbanding purata enam bulan sebelumnya juga wajar disemak secara automatik tanpa pengguna perlu membuat aduan secara individu.

Selain itu katanya, bantuan bersasar kepada pengguna perlu diperluas bukan sahaja kepada golongan miskin tegar, tetapi turut melibatkan kumpulan B40, M40 bawah, pesara, keluarga besar, peniaga kecil, petani, nelayan serta isi rumah yang mempunyai keperluan kesihatan tertentu.

Dalam masa sama, beliau berkata Sabah Electricity juga perlu menetapkan petunjuk prestasi yang jelas sekiranya rakyat diminta membayar tarif lebih tinggi.

“Gangguan bekalan elektrik mesti berkurang, grid perlu lebih stabil, aduan pengguna diselesaikan dengan cepat dan laporan kemajuan diterbitkan secara berkala supaya rakyat dapat melihat hasil daripada kenaikan tarif yang dikenakan,” katanya.

Beliau menegaskan isu berkenaan bukanlah penolakan terhadap pembangunan sektor tenaga, sebaliknya melibatkan soal kadar serta kaedah pelaksanaan kenaikan tarif agar tidak menekan kuasa beli rakyat dan perbelanjaan pengguna.