PAPAR: Seorang wanita warga emas berusia 72 tahun ditemukan meninggal dunia dalam kejadian kebakaran sebuah rumah dua tingkat jenis separuh kekal di Kampung Seri Tanjung Pengalat Kecil, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.29 pagi itu, rumah berkeluasan 40×60 kaki berkenaan dilaporkan terbakar hampir 90 peratus.
Komander Operasi, PBK I Dahlan Jainudin berkata, sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar digerakkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan.
“Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 6.35 pagi dan menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki dengan dua pancutan air daripada pili bomba berhampiran.
“Mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di kawasan bilik mandi pada jam 7.57 pagi sebelum berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia kemudian mengesahkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat sesak nafas.
Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi turut dibantu agensi lain sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.36 pagi.






