Seramai 150 Kanak-Kanak Terlibat Dalam Majlis Khatan Beramai-Ramai Di Putatan

Seramai 150 Kanak-Kanak Terlibat Dalam Majlis Khatan Beramai-Ramai Di Putatan

0
SHARE

PUTATAN, SABAH – Majlis khatan beramai-ramai terus menjadi wadah dalam mengerat hubungan silaturahim masyarakat setempat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, selain daripada dua aspek berkenaan, program tersebut turut dilihat dapat membantu golongan ibu bapa melaksanakan tuntutan agama kepada anak-anak mereka.

Jelas beliau, untuk tahun ini, seramai 150 kanak-kanak terlibat dengan program yang dianjurkan oleh peringkat DUN bersempena musim cuti persekolahan.

“Kali ini kita mensasarkan seramai 150 orang peserta akan menyertai Majlis berkhatan ini termasuklah dari Kem Lok Kawi yang berada dalam kawasan N24 Tanjung Keramat…

“Usaha ini adalah untuk kita sama-sama meringankan beban keluarga dalam membiayai kos program atau operasi berkhatan bagi kanak-kanak lelaki yang meningkat dewasa yang ada di kawasan Tanjung Keramat dan daerah Putatan secara amnya,” jelasnya.

Shahelmey berkata demikian ketika merasmikan Majlis Berkhatan Tanjung Keramat anjuran Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) N24 Tanjung Keramat di Masjid Daerah Putatan, Putatan pagi tadi.

Shahelmey melawat kanak-kanak yang menyertai Majlis Berkhatan Tanjung Keramat di Masjid Daerah Putatan…

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah itu berharap anjuran program ini akan memberi impak yang positif kepada masyarakat setempat di Putatan.

“Adalah menjadi harapan saya bahawa program sosial anjuran UPPM N24 Tanjung Keramat akan memberi impak yang positif kepada masyarakat setempat yang ada dalam kawasan Tanjung Keramat dan juga daerah Putatan secara amnya,” katanya.

Program berkhatan kali ini merupakan yang kedua kali dianjurkan semenjak beliau menjadi wakil rakyat N24 Tanjung Keramat hujung tahun lalu.