KOTA MARUDU, SABAH – Polis mencekup seorang pengedar bagi kawasan Pitas di sini dengan rampasan dadah bernilai RM8,165.
Dadah jenis syabu seberat 81.65 gram yang dirampas di rumah suspek lelaki 41 tahun di Kampung Ranggu cukup untuk beliau dikenakan hukuman gantung.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superitendan Zairolnizal Ishak berkata suspek ditahan dalam sebuah serbuan pada kira-kira jam 12.22 pagi tadi.
Pada mulanya suspek cuma mengeluarkan satu bungkusan plastik kecil dan tiub penyedut minuman mengandungi 5.06 dan 1.22 gram syabu.
“Pihak polis bertanya kepada suspek jika menyimpan bahan terlarang dan suspek yang gagal melarikan diri itu segera membawa pihak polis ke bahagian dapur,” katanya.
Zairolnizal berkata, selepas disoal siasat, suspek mengeluarkan satu bungkusan plastik daripada poket seluarnya yang berisi 75.37 gram hablur jernih syabu.
Turut dirampas ialah wang tunai berjumlah RM8,000 dipercayai hasil daripada penjualan dadah dan sebuah kenderaan jenis sedan.

Ketua Polis Daerah itu berkata suspek merupakan seorang penggangur.
“Suspek mengaku memperoleh bekalan dadah dari seorang individu di kawasan kedai Taman Telipok Ria Kota Kinabalu dengan harga RM3,800 untuk syabu seberat 50 gram dan RM7600 bagi 100 gram…
“Suspek turut mengakui mengambil bekalan dadah itu pada kekerapan empat kali sejak Oktober lalu untuk dijual di sekitar Pitas,” katanya.

Zairolnizal berkata suspek juga mengaku menghisap syabu dua kali sehari. Ujian air kencing keatasnya kembali positif.
Suspek kini sedang ditahan reman untuk disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.





