SPRM Tahan Penjawat Awam Disyaki Salah Guna Kuasa, Syorkan Rumah SMJ Kepada...

SPRM Tahan Penjawat Awam Disyaki Salah Guna Kuasa, Syorkan Rumah SMJ Kepada Ahli Keluarga

0
SHARE

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah telah menahan seorang penjawat awam kerana disyaki menyalahgunakan kuasa dengan mengesyorkan dua penama ahli keluarganya yang tidak layak sebagai penerima Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ).

Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 50-an itu telah ditahan kira-kira jam 9.50 pagi tadi ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Sandakan.

“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2022 dan mendapati rumah yang dibina atas nama bapa mentua dan adik iparnya telah siap pada tahun 2023.

“Namun sehingga tahun 2025 didapati rumah tersebut masih belum didiami dan ini menimbulkan keraguan terhadap kelayakan sebenar penerima dan berpotensi menjejaskan objektif program bantuan tersebut,” katanya.

Pengarah SPRM Negeri Sabah, Mohd Fuad Bee Bin Basrah ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat dibawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan suspek akan dituduh di Mahkamah Seksyen Sandakan dalam masa terdekat.