Sarawak Cabar Tiga Undang-undang Petroleum Persekutuan

Sarawak Cabar Tiga Undang-undang Petroleum Persekutuan

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Kerajaan Sarawak memfailkan petisyen di Mahkamah Persekutuan bagi mencabar kesahan tiga undang-undang petroleum Persekutuan dalam usaha mendapatkan kawalan lebih besar terhadap sumber asli negeri itu.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, petisyen itu bertujuan menentukan kesahan dan pemakaian Akta Pembangunan Petroleum 1974, Akta Pelantar Benua 1966 dan Akta Perlombongan Petroleum 1966.

Langkah berkenaan menyusul susulan permohonan yang difailkan oleh Petronas pada Januari lalu bagi mendapatkan penjelasan berhubung rangka kerja perundangan dan kawal selia operasinya di Sarawak. Pendengaran kes dijadualkan pada 16 Mac.

Pada 2024, Sarawak menubuhkan syarikat petroleum miliknya, Petros, untuk memperoleh, mengedar, membekal dan menjual semua gas asli yang dikeluarkan di negeri itu, sekali gus mencetuskan pertindihan kuasa dengan Petronas.

Sharifah Hasidah berkata kerajaan negeri akan membantah permohonan Petronas atas alasan ia tidak terletak dalam bidang kuasa Mahkamah Persekutuan menurut Perlembagaan.

Katanya, akta-akta Persekutuan berkenaan memberi kesan terhadap sempadan Sarawak yang ditetapkan sebelum Hari Malaysia serta hak negeri terhadap sumber petroleum di luar pesisir dalam sempadannya.

Menurut beliau, penyelesaian isu perlembagaan itu penting bagi memperjelas rangka kerja kawal selia industri minyak dan gas di Sarawak serta memberi kepastian kepada pelabur sektor huluan dan hiliran.