
KUALA LUMPUR: Keengganan anggota polis menerima laporan orang awam atas alasan pakaian boleh dianggap kesalahan serius sehingga membawa kepada pemecatan, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Shamsul Anuar Nasarah.
Di Dewan Rakyat pada Isnin, beliau berkata kerajaan tidak bercadang menggubal undang-undang baharu kerana arahan sedia ada mencukupi dan terpakai di seluruh negara di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
Menurutnya, satu pekeliling bertarikh 29 Dis 2025 telah diedarkan kepada semua balai dan ibu pejabat polis bagi memastikan dasar itu difahami dan dipatuhi oleh pegawai peringkat operasi.
Katanya, pemantauan akan dibuat melalui penilaian di peringkat daerah dan negeri serta audit dalaman, dan sebarang ketidakpatuhan akan dikenakan tindakan tegas.





