Pemandu Cedera, Jalan Hampir Terputus di Sukau

Pemandu Cedera, Jalan Hampir Terputus di Sukau

0
SHARE

KINABATANGAN: Seorang pemandu cedera ringan selepas kejadian kegagalan jalan raya di tapak Projek Pan Borneo WP25 berhampiran Bulatan Sukau awal pagi Selasa.

Kenderaan berat kini masih dilarang melalui laluan Jalan Sandakan–Lahad Datu KM90.

Kejadian dilaporkan berlaku antara jam 4.30 hingga 5 pagi selepas hujan lebat sehari sebelumnya menyebabkan tanah di bawah struktur jalan mendap hingga laluan utama hampir terputus.

Sebuah Proton Saga terlibat dalam kejadian itu, namun pemandu dan penumpang tidak mengalami kecederaan serius dan telah menerima rawatan di Hospital Kinabatangan.

Pasukan JKR Sabah bersama kontraktor telah dikerahkan ke lokasi bagi melaksanakan kawalan trafik serta memastikan keselamatan, termasuk pemasangan penghadang, kon, lampu amaran dan papan tanda.

Satu laluan lencongan dibuka buat sementara waktu, namun hanya kenderaan ringan dibenarkan melalui atas faktor keselamatan, manakala kenderaan berat masih tidak dibenarkan.

Kerja pemantauan dan pembaikan sedang giat dijalankan, dan pengguna jalan raya dinasihatkan supaya berhati-hati serta mematuhi arahan pihak berkuasa.