Unduk Ngadau Kaamatan 2026 Lebih Sengit, 53 Finalis Bakal Harungi Penilaian Dua...

Unduk Ngadau Kaamatan 2026 Lebih Sengit, 53 Finalis Bakal Harungi Penilaian Dua Peringkat

0
SHARE

KOTA KINABALU: Pertandingan Unduk Ngadau Kaamatan 2026 tampil dengan pembaharuan besar tahun ini apabila memperkenalkan sistem penilaian dua peringkat serta memperluaskan jumlah peserta yang mara ke pusingan kedua kepada 25 finalis berbanding hanya 15 sebelum ini.

Pengerusi Jawatankuasa Unduk Ngadau Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026, Dr. Mary Gambidau berkata, seramai 53 finalis mewakili daerah, daerah kecil dan cawangan KDCA termasuk penyertaan dari Semenanjung Malaysia, Wilayah Persekutuan dan Sarawak akan berkampung di Hilton Kota Kinabalu bermula hari ini sehingga malam kemuncak pada 31 Mei nanti.

Menurut beliau, pertandingan akhir akan berlangsung di Hongkod Koisaan KDCA dengan penambahbaikan format pertandingan bagi memberi lebih ruang kepada peserta menyerlahkan potensi, personaliti dan kemampuan masing-masing.

“Tahun ini kita memperkenalkan sistem penilaian dua peringkat. Penilaian awal dijalankan sepanjang Minggu Unduk Ngadau bermula 26 Mei di Hilton Kota Kinabalu melibatkan aspek penampilan, soal jawab dalam bahasa ibunda atau Bahasa Melayu serta disiplin peserta.

“Daripada penilaian awal ini, 25 finalis terbaik akan dipilih untuk mara ke pusingan seterusnya di KDCA sebelum penilaian dimulakan semula dari kosong pada malam akhir,” katanya pada Sidang Akhbar Unduk Ngadau Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026, hari ini.

Beliau berkata, penilaian awal dan penilaian akhir masing-masing membawa markah penuh 100 peratus namun kedua-duanya dinilai secara berasingan bagi memastikan proses pemilihan lebih adil dan kompetitif.

Katanya, selepas pemilihan Top 25, pertandingan akan diteruskan dengan sesi soal jawab sebelum tujuh finalis terbaik dipilih ke pusingan akhir bagi menentukan pemenang Unduk Ngadau Kaamatan 2026.

Dalam usaha memastikan ketelusan penghakiman, pihak penganjur turut menyediakan rubrik pemarkahan khusus sebagai panduan rasmi kepada semua juri.

“Melalui rubrik ini, penghakiman akan menjadi lebih profesional, telus dan berfokus kepada kriteria yang telah ditetapkan,” katanya.

Dr. Mary turut menjelaskan bahawa pihak penganjur mengekalkan konsep penilaian tertutup selain meneruskan penggunaan penterjemah bagi membantu peserta yang memilih untuk menjawab menggunakan bahasa etnik masing-masing.

Setakat ini, katanya, pihak penganjur telah menyediakan penterjemah bagi bahasa Murut dan Lundayeh selain bersedia menambah keperluan lain sekiranya diperlukan.

Beliau berkata, pihak jawatankuasa juga memperketat penyelarasan pakaian tradisi bagi mengelakkan kekeliruan seperti yang pernah berlaku sebelum ini.

“Baju yang didaftarkan semasa hari pertama pendaftaran adalah baju yang sama wajib dipakai semasa pertandingan akhir nanti. Setiap penyelaras daerah juga diminta mengemukakan deskripsi lengkap bersama gambar pakaian tradisi untuk panduan juri,” katanya.

Selain pertandingan utama, para finalis turut akan menjalani pelbagai aktiviti rasmi termasuk sesi temu bual berkaitan budaya dan adat serta Pertandingan Filem Pendek CAN bertemakan “Kaamatan: Menuai Perpaduan, Meraikan Keharmonian”.

Menurut beliau, Unduk Ngadau bukan sekadar pertandingan kecantikan, sebaliknya platform memperkasakan wanita muda sebagai duta budaya, warisan dan komuniti Kadazandusun serta masyarakat Sabah secara keseluruhan.

Pemenang Unduk Ngadau Kaamatan 2026 bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000 berserta tajaan biasiswa pendidikan, saringan kesihatan, produk kecantikan dan pelbagai hadiah menarik lain.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua penaja dan rakan strategik yang terus menyokong penganjuran acara berprestij tersebut termasuk penaja utama tahun ini, Sawit Kinabalu.

Senarai 53 Finalis Unduk Ngadau Kaamatan 2026:
1. Papar – Gelvia Vanessa Binti Jenny
2. Tungku – Mary-An P. Calica
3. Tambunan – Natalia Jinui
4. Tongod – Anne Theresse Justin Sentian
5. Menumbok – Hyzlensiska Verron Johnny
6. Tanjung Aru – Joyce Nia David
7. Matunggong – Criszelbellkah Lorris
8. Banggi – Lora Derlina Lisa Jusley
9. Inanam – Essmerrellda Cafry@Clemen
10. Nabawan – Sahira Samson
11. Sook – Myra Evana Robert
12. Kinabatangan – Vrenda Joaan Deftenneay Taji@Paul
13. Tawau – Elvyra Edna Robert
14. Bingkor – Alysheron Maunsiong
15. Penang – Jeraahfinah Jonis
16. Karambunai – Natalie Ally Hepeni
17. Telupid – Cyra Eva Bella Stephen
18. Pagalungan – Kerishine Danil
19. Kudat – Feyrashandy Hanlin Hanis
20. Sukau – Ally Denis
21. Lahad Datu – Caesyizii Liakim
22. Beluran – Dyann Dharlla Dominic
23. Sipitang – Hilda Jaynissa Godwin Patin
24. Melaka – Clarissa Jane Ahap Fred Michael
25. Sandakan – Ceelecia Reeka Mosungin
26. Putatan – Amber Weysha Walter John
27. Perak – Valerieana Karen Aldrin
28. Bandaraya KK – Liane Melve Grace Lias
29. Beaufort – Fedelia Viviana Venchin
30. Ranau – Christebell Masius
31. Kunak – Rachel Justin
32. Membakut – Dorna Mayra Michael
33. Kapayan – Vivi Yana Jenny
34. Johor – Josephine Magdeline Joseph
35. Keningau – Edreen Lynn Edward
36. Bandaraya – Felecity Chen Sing Yee
37. Tamparuli – Evyanarey Larry
38. Kalabakan – Christine Dionysius
39. Kuala Penyu – Lorna Breetney Johnny
40. Kota Marudu – Aelvereny Vahidin@Yahidin
41. WP Labuan – Sera-Vian Japrin
42. Pitas – Jean Christzabeth Yusevender
43. Kota Belud – Althea Tan Pin Yan
44. WP Putrajaya – Wendey Merrylen S. Jasmin
45. Paitan – Candycyci Liakim
46. Kemabong – Venica Tuboh@Pauzin
47. Tenom – Radila Ifa Yanie Meter
48. Tuaran – Juje Elor@Francis
49. Semporna – Adylee Arisen
50. Penampang – Gadrette Gregory
51. Klang Valley – Finafayena Primus
52. Kiulu – Catsween Su Sun Ping
53. Sarawak – Deanera Clarissa Jamdin.