KOTA KINABALU, SABAH – Parti Solidariti Tanahairku (Star Sabah) kecewa mengetahui syarikat Semenanjung telah dikontrak bagi kerja-kerja penambahbaikan lima tandas awam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).
Timbalan Presidennya, Datuk Kenny Chua menyelar pemilik projek, Malaysia Airports Sdn Bhd, kerana tidak memberi peluang kepada syarikat tempatan Sabah.
“Saya percaya ramai kontraktor dan arkitek Sabah berkebolehan menjalankan tugas itu…
“Lagipun, ini bukanlah kerja yang rumit kerana ia hanya melibatkan pengubahsuaian dan baik pulih tandas.
“Saya rasa Malaysia Airports perlu menjelaskan kepada orang ramai mengapa ia memberikan kerja ini kepada kontraktor dan arkitek Malaya.
“KKIA berada di Sabah jadi ia hanya masuk akal bahawa kontraktor tempatan Sabah diberikan keutamaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Kenny merujuk kepada notis awam mengenai projek yang melibatkan pengubahsuaian reka bentuk, pembinaan dan penyiapan lima set tandas awam dan kerja-kerja lain di KKIA.
Telah dinyatakan dalam notis bahawa projek itu adalah untuk fasa satu.