Kartel CJNG Mengamuk di 20 Negeri Mexico Selepas El Mencho Ditembak Mati

Kartel CJNG Mengamuk di 20 Negeri Mexico Selepas El Mencho Ditembak Mati

0
SHARE

MEXICO CITY: Anggota kartel dadah Jalisco New Generation Cartel (CJNG) melancarkan gelombang keganasan di sekurang-kurangnya 20 negeri Mexico susulan kematian ketuanya, Nemesio Oseguera Cervantes atau “El Mencho”, yang maut dalam tahanan tentera pada Ahad.

El Mencho, antara penjenayah paling dikehendaki di Mexico dan Amerika Syarikat, cedera parah dalam pertempuran dengan pasukan khas tentera Mexico sebelum ditangkap di Tapalpa, negeri Jalisco.

Dia meninggal dunia ketika dibawa ke Mexico City. Sekurang-kurangnya enam pengawal peribadinya terbunuh manakala tiga anggota tentera cedera.

Susulan berita kematiannya, anggota CJNG membakar kenderaan, bank dan premis perniagaan, selain mendirikan sekatan jalan raya dengan membakar bas serta menabur paku di lebuh raya.

Mengikut laporan terperinci BBC, lebih 250 insiden sekatan dilaporkan, termasuk di bandar pelancongan Puerto Vallarta dan Guadalajara, yang bakal menjadi tuan rumah Piala Dunia FIFA.

Lapangan terbang Puerto Vallarta terpaksa membatalkan penerbangan, menyebabkan kira-kira 300 pelancong terkandas.

Pihak berkuasa negeri Jalisco mengisytiharkan “kod merah”, menggantung pengangkutan awam dan membatalkan acara besar.

Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum, menggesa rakyat bertenang dan memuji operasi keselamatan yang dibantu risikan Amerika Syarikat.

Jabatan Negara AS sebelum ini menawarkan ganjaran AS$15 Juta (RM58 juta) bagi maklumat membawa kepada penangkapan El Mencho.

Setakat ini, 25 individu ditahan berkaitan keganasan tersebut dan sebahagian besar sekatan jalan raya berjaya dibuka semula, namun ketegangan masih memuncak terutama di kubu kuat CJNG di Jalisco.