MEMBAKUT: Membakut menjadi daerah keempat di Sabah yang diisytiharkan dilanda bencana banjir hari ini apabila Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Kesenian Islam Membakut dibuka secara rasmi pada jam 10.10 pagi.
Pengisytiharan pembukaan PPS itu dibuat oleh Pegawai Daerah Membakut merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Membakut, Yuesri Ismail Yusof.
Menurut beliau, PPS berkenaan mula beroperasi pada 25 Februari 2026 bagi menempatkan mangsa yang terjejas akibat banjir di daerah berkenaan.
“Saya selaku Pengerusi JPBD Membakut mengisytiharkan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Kesenian Islam Membakut dibuka berkuat kuasa jam 10.10 pagi hari ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Terdahulu, tiga daerah di Sabah iaitu Sook pada jam 4.30 pagi, Sipitang pada jam 8.30 pagi dan Beaufort pada jam 8 pagi hari ini telah diisytiharkan dilanda bencana banjir susulan laporan serta maklumat di lapangan yang diterima daripada agensi-agensi di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD).






