
KUALA LUMPUR – Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta in Billah menzahirkan rasa dukacita kerana tidak dapat singgah di beberapa lokasi di negeri Sabah dan Sarawak seperti yang telah dirancangkan.
Dalam sebuah kenyataan dikeluarkan Istana Negara hari ini, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Mejar Jeneral Dato’ Indera Zahari Mohd Ariffin berkata di Sabah, rombongan Kembara Kenali Borneo tidak dapat singgah di Menara Kayangan, Lahad Datu yang telah dijadualkan pada 4 September dan Tagal, Sungai Moroli, Ranau pada keesokan harinya.
Manakala di negeri Sarawak, rombongan pula tidak dapat mengunjungi Tokong Yu Lung Sian En Si. Sibu yang telah dijadualkan pada 11 September 2023.
Rombongan juga tidak dapat mengunjungi Masjid Bandar Sri Aman dan kemudiannya, Fort Alice di Sri Aman pada keesokan harinya.
“Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong berdua serta rombongan tidak berkesempatan singgah di lokasi- lokasi tersebut atas faktor-faktor yang tidak dapat dielakkan dan bukanlah disengajakan.
“Seri Paduka Baginda berdua, dalam menyantuni ribuan rakyat yang menunggu sepanjang jalan, juga mengejar masa untuk berangkat tiba di majlis-majlis santapan malam bersama rakyat yang melibatkan kehadiran ratusan atau ribuan hadirin pada waktu yang telah ditetapkan di hari-hari berkenaan.
“Seri Paduka Baginda berdua amat prihatin terhadap keterujaan dan semangat kasih rakyat yang setia menunggu ketibaan rombongan untuk bertemu. bersalaman dan bergambar dengan baginda berdua di lokasi-lokasi tersebut.
“Seri Paduka Baginda bertitah, sekiranya keadaan mengizinkan, Baginda berhasrat berangkat menyantuni rakyat di lokasi-lokasi tersebut di masa hadapan.
“Selanjutnya, sekiranya keadaan tidak mengizinkan. bermungkinan paduka-paduka anakanda akan mewakili baginda berdua,” katanya.
Walau bagaimanapun, sambutan dari rakyat Sabah cukup menggambarkan betapa tingginya kasih dijunjung mendapat seorang Raja dan sekeluarga yang bersifat berjiwa rakyat, rendah diri dan terbuka.