Penyelia Jururawat Derma Organ, Beri Sinar Baharu Kepada Lima Pesakit

Penyelia Jururawat Derma Organ, Beri Sinar Baharu Kepada Lima Pesakit

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Seorang pnyelia jururawat yang meninggal dunia akibat masalah mati otak telah memberi sinar baharu kepada lima pesakit menerusi beberapa organnya yang didermakan, baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Dr Asits Sanna dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan berkata Allahyarhamah Sulimah Gilong, 59, yang berdaftar sebagai pengikrar penderma organ sejak 2015, mendermakan sepasang buah pinggang, hati dan kornea.

Jelasnya, hasrat Allahyarhamah untuk menjadi penderma organ selepas kematian disempurnakan setelah pihak hospital mendapat persetujuan bertulis daripada warisnya.

“Pendermaan organ dan tisu oleh Allahyarhamah dapat menyelamatkan nyawa tiga pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang dan hati serta memberi sinar penglihatan kepada dua pesakit lain.

“JKNS ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada ahli keluarga yang telah menunaikan hasrat beliau serta anugerah kehidupan yang diberikan,” katanya.

Dr Asits berkata, pendermaan organ Allayarhamah dilakukan di Hospital Queen Elizabeth II (HQE II), di sini.

Menurutnya, ia merupakan kes kelima pendermaan organ di Sabah bagi 2023 setakat ini dan juga merupakan kes pendermaan pelbagai organ dan tisu yang pertama di Sabah bagi tahun ini.

“Penderma organ dan tisu ini adalah seorang penyelia jururawat yang berkhidmat dalam Kementerian Kesihatan selama 34 tahun sejak 1989.

“Tempat bertugas terakhir beliau adalah di Wad Perubatan Am 4 dan Wad Respiratori, Hospital Queen Elizabeth. Beliau seorang jururawat berdedikasi dalam menjalankan tugas, disenangi oleh rakan sekerja dan prihatin terhadap keperluan pesakit.

“Salam takziah diucapkan kepada ahli keluarga di atas pemergian dan semoga keluarga arwah diberikan kekuatan untuk menghadapi kehilangannya.

“Kami mendoakan semoga segala amal ibadahnya diterima serta ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh,” katanya.