Lima Cedera, Ativa Terbabas Masuk Parit di Tuaran

Lima Cedera, Ativa Terbabas Masuk Parit di Tuaran

0
SHARE

TUARAN: Lima individu cedera selepas sebuah kenderaan jenis Perodua Ativa terbabas sendiri sebelum masuk ke dalam parit dalam satu kemalangan jalan raya di Jalan Berungis, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.18 pagi itu, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 sebelum menggerakkan jentera ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira lima kilometer dari balai.

Pengganti Ketua Balai BBP Tuaran, PBK I Mahmud Jumah berkata, seramai sembilan anggota bersama dua jentera dikejarkan ke lokasi dan tiba pada jam 2.27 pagi.

“Komander Operasi melaporkan sebuah Perodua Ativa terbabas sendiri dan masuk ke dalam parit. Terdapat lima mangsa terlibat dan semuanya dilaporkan mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, kesemua mangsa berjaya dikeluarkan dari dalam parit menggunakan stretcher sebelum diberikan rawatan awal oleh pasukan Perkhidmatan Perubatan Kecemasan Bomba (EMRS).

“Mangsa terdiri daripada empat lelaki dan seorang perempuan berusia antara 19 hingga 30 tahun. Kesemua mereka kemudiannya diserahkan kepada pihak ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia untuk dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

Operasi menyelamat turut melibatkan kerjasama PDRM dan dua pasukan ambulans KKM bagi memastikan keselamatan serta kelancaran di lokasi kejadian.

“Setelah memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.44 pagi,” katanya.

Punca kemalangan masih dalam siasatan pihak berkuasa.