Polis Tahan Lelaki Terbabit Lumba Haram di Lahad Datu

Polis Tahan Lelaki Terbabit Lumba Haram di Lahad Datu

0
SHARE

LAHAD DATU: Polis menahan seorang lelaki berusia 21 tahun bagi membantu siasatan berhubung kes tular di media sosial melibatkan aktiviti lumba haram sekumpulan penunggang motosikal di daerah ini, awal minggu ini.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Dzulbaharin Ismail berkata, kejadian itu dipercayai berlaku pada 21 Disember lalu kira-kira jam 3.50 pagi, apabila seorang penunggang motosikal didakwa melanggar lampu isyarat merah sebelum terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di persimpangan lampu isyarat berhampiran Lapangan Terbang Lahad Datu.

Menurutnya, hasil maklumat dan tindakan pantas sepasukan Unit Penguatkuasaan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, suspek berjaya dikesan dan ditahan di kediamannya di Felda Sahabat, Lahad Datu pada 23 Disember kira-kira jam 4.15 petang.

“Suspek lelaki warganegara Malaysia itu telah dibawa ke IPD Lahad Datu untuk siasatan lanjut dan direman selama empat hari bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

ACP Dzulbaharin berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan.

Beliau menjelaskan, jika disabitkan kesalahan, individu terbabit boleh dihukum penjara tidak melebihi lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000 serta tidak melebihi RM15,000, manakala bagi sabitan kali kedua atau seterusnya, hukuman penjara boleh mencecah 10 tahun dan denda antara RM10,000 hingga RM20,000.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian berkenaan diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Humaidi Harun di talian 089-881255 atau tampil ke IPD Lahad Datu bagi membantu siasatan.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan ibu bapa supaya memantau tingkah laku anak-anak agar tidak terpengaruh dengan aktiviti tidak sihat, selain mengingatkan pengguna jalan raya khususnya golongan belia supaya mematuhi undang-undang lalu lintas.

“Pihak polis tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti lumba haram dan operasi bersepadu akan terus dijalankan dari semasa ke semasa, khususnya di kawasan yang dikenal pasti menjadi tumpuan kegiatan tersebut,” katanya.