
TAWAU, SABAH – Kembara Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) Negeri Sabah 2023 meneruskan kembara ke Tawau.
Seawal lapan pagi konvoi KMJG yang diketuai Pengarah Penerangan Negeri Sabah Jainisah Mohd Noor membuat persinggahan pertama di Wisma Persekutuan Tawau.
Penolong Setiausaha Persekutuan, Michol Lin mewakili jabatan dan agensi yang berada di bangunan tersebut menerima Jalur Gemilang daripada ketua konvoi sebelum menyempurnakan acara pelepasan di pekarangan Wisma Persekutuan Tawau.
Seterusnya konvoi beredar ke perkarangan Majlis Perbandaran Tawau (MPT) untuk Program Kempen Kibar Jalur Gemilang dan KMJG 2023 peringkat daerah.
Ahli Parlimen P190 Tawau, Lo Su Fui merasmikan acara yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balung Hamild Awang dan Presiden MPT Pang Pick Lim.
Semasa ditemui media, Lo mengingatkan agar masyarakat sentiasa menyokong program kenegaraan kerana mampu meningkatkan semangat kebangsaan dalam diri. — JABATAN PENERANGAN SABAHÂ