YDPA Bakal Mula Jelajah Kembara Borneo September Depan, KKR Pantau Prestasi Lebuhraya...

YDPA Bakal Mula Jelajah Kembara Borneo September Depan, KKR Pantau Prestasi Lebuhraya Pan Borneo

0
SHARE
Alexander
sesi sidang media selepas lawatan tapak LPB Sabah bagi Pakej Kerja 4 Menaik Taraf Jalan Bongawan - Papar

PAPAR, SABAH – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bakal memulakan Jelajah Kembara Borneo yang dijadualkan akan bermula di Sabah pada bulan September hadapan.

Menteri Kerja Raya (KKR), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata susulan itu, pihaknya turun memantau persediaan serta prestasi berkaitan pembinaan Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah Fasa 1A, penyenggaraan projek dan jalan Persekutuan.

“Tujuan kami datang ke Sabah ini adalah untuk berbincang perkara berkaitan persediaan program bulan depan ini iaitu, Yang di-Pertuan Agong akan bermula (Jelajah Kembara Borneo) dari Tawau melalui sepanjang jalan LBP Sabah sampailah Teluk Melanau di Kuching, Sarawak selama beberapa hari.

“Jadi, perlu banyak tinjauan kerja untuk menjaminkan keselamatan dan keselesaan sehingga LBP ini siap. Saya difahamkan kerja-kerja yang perlu dilakukan ini sedang dibuat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi sidang media selepas lawatan tapak LPB Sabah bagi Pakej Kerja 4 Menaik Taraf Jalan Bongawan – Papar, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Shahelmey Yahya, dua Pembantu Menteri Kerja Raya Datuk Limus Jury dan Pembantu Menteri Kerja Raya Datuk Robert Tawik.

Alexander dalam pada itu turut menjelaskan pihaknya difahamkan bahawa tujuan utama baginda adalah untuk merasai sendiri pengalaman melalui jalan LPB di negeri Sabah dan Sarawak.

“Kita difahamkan itulah tujuan utama Yang di-Pertuan Agong. Yang di-Pertuan Agong tahu projek ini belum siap. Di Sarawak, boleh dikatakan LBP siap 97 peratus cuma di Sabah ini ia bermula lewat sedikit pada tahun 2016 sementara Sarawak bermula pada tahun 2015.

“Tetapi banyak isu lain yang memberi kesan kelewatan pakej di Sabah ini bermula pelaksanaannya. Apabila kami bermesyuarat pagi tadi, diakui di Sabah ini ada sedikit masalah kekurangan bahan binaan yang agak terhad.

“Jadi, saya telah mengarahkan supaya semua pihak melihat kepada masalah ini berbincang dengan pembekal iaitu Shell dan Petronas agar mereka buat yang terbaik,” katanya.

Susulan itu, beliau berkata pihaknya berharap syarikat kontraktor pelaksana untuk projek LPB akan dilantik penghujung tahun ini dan menyasarkan kerja pembuatan jalan akan dilaksanakan secara serentak pada tahun hadapan.

Sementara itu, mengulas mengenai tinjauannya hari ini, beliau berkata antara selain Pakej 4, antara fokus lokasi yang ditinjau pihaknya melibatkan tapak projek Menaik Taraf Jalan Donggongon ke Papar Spurs Fasa 2 dan 3 dan kerja-kerja penyenggaraan Jalan Persekutuan sekitar Kota Kinabalu.

“Sehingga Julai 2023, prestasi pelaksanaan LPB Sabah Fasa 1A ini adalah 82 peratus dengan jangkaan siap keseluruhan bagi 15 pakej pada Januari 2025.

“Bagi Fasa 1B, pakej-pakej yang masih belum bermula dijangka akan ditender pada suku keempat 2023 setelah Makmal Pengurusan Nilai dimuktamadkan,” katanya.