Kes Peguam Marcel Hina KDMR Tamat Dengan ‘Sogit’ 7 Ekor Kerbau

Kes Peguam Marcel Hina KDMR Tamat Dengan ‘Sogit’ 7 Ekor Kerbau

0
SHARE

PENAMPANG, SABAH – Kes Marcel Jude menghina suku kaum Kadazan Dusun Murut Rungus (KDMR) dengan menyamakan acara Unduk Ngadau seperti “pertunjukkan lembu eksotik” pada bulan Jun akhirnya ditenteramkan dan tamat.

Penyelesaian mediasi antara Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) dan tujuh lagi persatuan bangsa KDMR telah ‘sogit’ (mendenda) peguam berkenaan sebanyak tujuh (7) ekor kerbau di Makhamah Anak Negeri Penampang.

Timbalan Presiden dan juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan berkata keputusan itu membawa kepada tamatnya kontroversi di mana hukuman setimpal telah pun ditandatangani si pelaku (Marcel) pada 13 Ogos lalu.

Jeffrey (duduk kanan) bersama Marcel menandatangani perjanjian permohonan maaf sambil disaksikan ahli-ahli tertinggi Persatuan Budaya Kadazan Dusun…

Turut hadir dalam sesi 2.30 petang kelmarin (Isnin) ialah Ketua Daerah Membakut, Kota Kinabalu, Tamparuli, Kiulu serta wakil-wakil dari tujuh (7) persatuan KDMR tersebut.

“Persetujuan telah dicapai di mana Marcel Jude juga tidak akan mengambil tindakan makhamah terhadap mana-mana persatuan yang mana serupa dengan pihak KDCA tidak akan mengambil tindakan makhamah terhadap Marcel Jude…

“Pendamaian ini dianggap sebagai muktamad dan telah direkodkan oleh makhamah serta disaksikan oleh Ketua-Ketua Daerah Sabah.

“Kita harapkan perkara ini tidak diungkit lagi kerana kita tinggal dalam satu negara yang bermasyarakat majmuk yang bersifat hormat menghormati,” katanya.

Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G Kitingan…

Jeffrey pada masa yang sama mengingatkan penduduk Sabah untuk bersama menyokong kesatuan, bersolidariti dan menyokong kerajaan dalam memerangi wabak COVID-19.

Terdahulu, Marcel, seorang peguam, telah menggunakan hujah yang dianggap menghina itu bagi mendapatkan ikat jamin untuk anak guamnya, seorang ahli politik STAR yang telah digantung jawatan atas tuduhan mencabul peserta Unduk Ngadau pada bulan Mei lalu.