
LAHAD DATU, SABAH – Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun daripada suku Palauh ditemui mati di Kampung Panji di sini, semalam dipercayai dibunuh.
Mangsa kanak-kanak terbabit ditemui dalam keadaan kepalanya tersepit di antara dua pokok dengan tangan terikat.
Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu Superitendan Azmir Abdul Razak berkata selain itu, mangsa terbabit turut mengalami kecederaan kepala, kedua-dua tangan dan kaki kiri mangsa dikelar.
“Mayat mangsa ditemui ibunya di dalam kawasan semak pada jam tiga petang, selepas tiga jam mencari kanak-kanak itu yang keluar bermain.
“Sebaik menerima panggilan MERS 999 daripada orang awam, polis bergegas ke lokasi. Mangsa dipercayai dicederakan dengan objek tajam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu seorang lelaki warga asing berusia 30-an ditahan bagi membantu siasatan.
“Suspek merupakan orang terakhir dilihat bersama mangsa. Pemeriksaan lanjut turut mendapati suspek positif dadah dan dipercayai kurang siuman.
“Ibu bapa mangsa yang merupakan warga asing turut ditahan,” Azmir berkata sambil menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat daripada sumber tidak sahih.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.





