Lelaki Ditahan, Simpan 300 Liter Diesel Bersubsidi Tanpa Permit di Tawau

Lelaki Ditahan, Simpan 300 Liter Diesel Bersubsidi Tanpa Permit di Tawau

0
SHARE

TAWAU: Tindakan seorang lelaki tempatan menyimpan dan membawa minyak diesel bersubsidi tanpa permit terbongkar apabila ditahan dalam serbuan di sebuah stesen minyak di Batu 3, Jalan Apas, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, Jasmin Hussin berkata, serbuan kira-kira jam 4.40 petang itu dilaksanakan sepasukan Task Force Bahagian Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau hasil maklumat dan risikan.

“Hasil pemeriksaan mendapati suspek lelaki tempatan berusia 50 tahun gagal mengemukakan sebarang lesen atau permit bagi memiliki kira-kira 300 liter minyak diesel bersubsidi,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut menemui sebuah tangki minyak jenis fiber yang telah diubah suai dipercayai digunakan untuk menyimpan bahan api berkenaan.

“Turut dirampas sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu Trooper, anak kunci kenderaan serta tangki yang diubah suai bagi tujuan penyimpanan diesel,” jelasnya.

Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM11,445 membabitkan kenderaan, minyak diesel dan peralatan.

Katanya, kesemua tangkapan dan rampasan telah diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Cawangan Tawau untuk tindakan lanjut.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Dalam pada itu, Jasmin menasihatkan orang ramai agar tidak terlibat dalam sebarang aktiviti penyelewengan barang kawalan kerana tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan boleh menyalurkan maklumat kepada pihak polis termasuk melalui saluran Volunteer Smartphone Patrol (VSP) bagi membantu membanteras kegiatan ini,” katanya.