Agong, Raja Permaisuri Zahir Rasa Sedih Tragedi Nahas Helikopter

Agong, Raja Permaisuri Zahir Rasa Sedih Tragedi Nahas Helikopter

0
SHARE
Sultan Ibrahim
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar...

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menzahirkan rasa sedih dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa nahas helikopter di Lumut, Perak, hari ini.

Memetik sumber Berita Harian, turut menzahirkan ucapan sama Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.

Menurut catatan di laman Fecebook rasminya, baginda menzahirkan rasa amat sedih di atas kehilangan wira-wira negara dalam tragedi ini.

“Al-Fatihah dan salam takziah buat mereka yang telah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya. Semoga mereka ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan juga syuhada.

“Saya juga mahukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjalankan siasatan terperinci bagi mendapatkan maklumat sepenuhnya berhubung kejadian ini,” titah baginda.

Dalam insiden itu, seramai 10 mangsa terdiri daripada tujuh kru dan tiga penumpang maut, dalam nahas membabitkan pertembungan dua helikopter yang terbabit dalam latihan lintas hormat sempena sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90 pagi semalam.

Dua helikopter yang terdiri daripada model HOM dan Fennec itu berlepas dari Padang Sitiawan pada jam 9.03 pagi.

Berdasarkan video yang tersebar, kedua-duanya dipercayai bertembung ketika hendak membentuk formasi penerbangan raptai lintas hormat yang dirancang berlangsung di ruang udara Pangkalan TLDM Lumut.

Susulan pertembungan berlaku, kedua-dua pesawat terbabit hilang kawalan sebelum terhempas.