KUALA LUMPUR: Projek Taman Solar Helios di Gua Musang, Kelantan, yang dianggarkan bernilai RM2.8 bilion, kini melangkah ke fasa pelaksanaan dan bersedia menjana tenaga hijau menjelang akhir 2028.
Ketua Pegawai Operasi Helios Solar AG, Datuk Dr Zuraidi Ishak berkata, projek berskala besar berkapasiti 1,000 megawatt (MW) atau 1 gigawatt (GW) itu turut dilengkapi Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) berkapasiti 1,600 MW bagi memastikan kestabilan bekalan tenaga.
Beliau berkata, pembangunan projek terbabit akan dibahagikan kepada dua fasa utama dengan setiap satu melibatkan kapasiti 500 MW.
“Projek ini berada di lokasi strategik dengan kemudahan dua pencawang berkapasiti 275 kilovolt-ampere (kVA) serta sokongan tanah seluas 3,000 ekar.
“Kita menyasarkan penjanaan tenaga komersial bagi fasa pertama dapat beroperasi menjelang akhir 2028 untuk mengejar insentif yang ditetapkan,” katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani perjanjian Projek Taman Solar Helios Kelantan, di sini pada Rabu.
Hadir sama pada majlis itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Helios Photovoltaic Sdn Bhd, Datuk Ong Thuan Ming.
Mengulas mengenai aspek teknikal, Dr Zuraidi berkata kerjasama strategik telah dimeterai bersama beberapa syarikat perunding bertauliah bagi memastikan kelancaran projek.
Antara yang dilantik ialah AHA Consultant sebagai perunding kejuruteraan utama dan voltan tinggi; Angkasa Consulting Services (kerja struktur sivil, mekanikal dan elektrikal); Total Power Solutions (kajian sistem kuasa); serta TNB Research Sdn Bhd (TNBR) yang mengetuai penilaian impak alam sekitar dan sosial (EIA).
Sementara itu, Ong berkata syarikat itu yakin terhadap unjuran pasaran dan ketersediaan dana susulan permintaan tinggi daripada sektor pusat data yang memerlukan kapasiti tenaga yang besar.
“Projek ini menerima banyak pertanyaan daripada pusat data yang memerlukan jumlah tenaga yang sangat tinggi. Langkah ini tepat pada masanya untuk memenuhi keperluan mereka.
“Dari segi pembiayaan, nilai pelaburan adalah di bawah RM3 bilion dan kami berada di landasan betul untuk menerbitkan sukuk bernilai RM2 bilion dalam masa terdekat,” katanya.
Tambah beliau, Helios Photovoltaic yang baru sahaja disenaraikan di Bursa Saham Frankfurt beroperasi sebagai syarikat bebas hutang (zero-debt company), sekali gus memberikan fleksibiliti kukuh untuk meneroka pelbagai instrumen kewangan demi menjayakan projek mega berkenaan.






