PENAMPANG: Program Premis Bersih dan Bebas Asap Rokok (BeBAs) diteruskan bagi memperkukuh keselamatan makanan, kebersihan serta mewujudkan persekitaran bebas asap rokok di premis makanan di seluruh Sabah.
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki berkata, program itu dilaksanakan secara berterusan dengan penglibatan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), pihak berkuasa tempatan, pengendali makanan dan komuniti.
“Program BeBAs pertama dilaksanakan pada 2024 sebagai projek rintis di Bandar Kubota, Tawau, diikuti siri kedua di Heritage Street, Imago Shopping Mall, Kota Kinabalu pada 2025.
“Tahun ini, siri ketiga diadakan di Penampang, mencerminkan usaha berterusan kita untuk menggalakkan premis makanan yang lebih bersih, selamat dan bebas asap rokok di Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program BeBAs Siri 3 Tahun 2026 di Funky Farm Food Court, Kepayan, di sini.
Julita berkata, BeBAs turut menggalakkan pengendali makanan memenuhi keperluan mendapatkan pengiktirafan Bersih dan Selamat (BeSS), termasuk suntikan vaksin anti-tifoid serta Sijil Latihan Pengendali Makanan.
Pada masa sama, program itu memberi penekanan terhadap premis bebas daripada aktiviti merokok dan penggunaan vape bagi menyediakan persekitaran lebih sihat kepada pelanggan serta pengendali makanan.
Katanya, Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) memperkukuh usaha melindungi orang awam daripada kesan buruk merokok dan penggunaan vape.
Program berkenaan turut mencatatkan pematuhan 100 peratus terhadap keperluan mempamerkan tanda larangan merokok dan penggunaan vape.
“Kebersihan, keselamatan makanan dan persekitaran bebas asap rokok perlu menjadi sebahagian daripada budaya harian kita, bukan sekadar amalan ketika pemeriksaan atau program tertentu.
“Ini merupakan tanggungjawab bersama dalam mewujudkan premis makanan yang lebih selamat dan sihat untuk semua,” katanya.
Julita berkata, BeBAs mencerminkan pendekatan Whole-of-Nation apabila agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, pengendali makanan dan komuniti berkongsi tanggungjawab meningkatkan kesihatan awam.






