KOTA KINABALU, SABAH – Bilangan jemaah yang dibenarkan hadir ke masjid atau surau bagi Solat Jumaat dan Solat Fardhu Berjemaah dipertingkatkan kepada 50 peratus (50%) mengikut kapasiti.
Jurucakap Perkembangan Harian COVID-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, keputusan itu dipersetujui Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana (COVID-19) Negeri Sabah bagi hal ehwal Islam berkait aktiviti masjid dan surau malam tadi.
“Individu yang telah lengkap divaksin adalah diutamakan dengan penjarakan satu (1) meter harus sentiasa diamalkan…
“Aktiviti masjid dan surau dibenarkan seperti kuliah maghrib, kuliah dhuha, kelas agama dan seumpamanya mengikut bilangan kapasiti yang dibenarkan.
“Mesyuarat Agung Jawatankuasa masjid dan surau termasuk dalam kebenaran ini,” katanya dalam sebuah kenyataan.
Majlis Akad Nikah pula dibenarkan untuk diadakan dalam dewan atau ruang khas masjid juga mengikut kapasiti dewan atau ruang khas tersebut.
Bagi pengurusan jenazah dan ziarah kubur dibenarkan mengikut bilangan tidak lebih 30 orang.
“Umat Islam juga dinasihatkan agar mematuhi sepenuhnya Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Pihak Berkuasa Negeri dari samasa ke semasa bagi memutuskan penularan wabak COVID-19,” tegasnya.





