Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas Antara Laluan Baharu Bas Pink

Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas Antara Laluan Baharu Bas Pink

0
SHARE

KOTA KINABALU: Perkhidmatan Bas.My atau ‘Bas Pink’ bakal diperluas ke beberapa lokasi baharu termasuk Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas menerusi penjajaran semula lapan laluan di sekitar Kota Kinabalu.

Penjajaran itu turut melibatkan Tanjung Aru, Klinik Luyang, Bandar Sierra dan Kota Kinabalu High School, sekali gus membolehkan perkhidmatan berkenaan mencakupi sekurang-kurangnya 70 peratus laluan utama di kawasan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah, Senator Datuk Phoong Jin Zhe berkata, penjajaran berkenaan bertujuan mengoptimumkan perkhidmatan Bas.My selain memenuhi keperluan penumpang yang semakin meningkat.

“Dengan penjajaran ini, perkhidmatan Bas.My akan dapat mencakupi sekurang-kurangnya 70 peratus laluan utama di kawasan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu.

“Proses penyelarasan penjajaran laluan baharu ini dijangka selesai pada 15 Oktober 2026,” katanya dalam kenyataan.

Phoong berkata, cadangan penjajaran lapan laluan itu dimuktamadkan dalam Mesyuarat Anggota LPKP Sabah Bilangan 7/2026 yang diadakan pada 25 September lalu.

Menurutnya, penggunaan Bas.My menunjukkan peningkatan ketara dengan sebanyak 367,798 penumpang direkodkan setakat 20 September lalu.

Dalam pada itu, LPKP Sabah akan meneruskan penyelarasan dan kerjasama dengan Jabatan Kerja Raya (JKR), DBKK serta pihak berkepentingan bagi menyediakan kemudahan infrastruktur seperti hentian bas, lay-by dan petak bas di lokasi kritikal.

Phoong turut mengarahkan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap operasi Bas.My dipertingkatkan bagi memastikan perkhidmatan bas beroperasi secara teratur, mematuhi syarat operasi serta memberikan perkhidmatan yang baik kepada penumpang.

Pada masa sama, beliau mahu perkhidmatan pelesenan kenderaan perdagangan ditambah baik dengan mengurangkan karenah birokrasi dalam proses sedia ada.

Katanya, antara perkara yang diberi perhatian ialah keperluan dokumentasi sokongan yang tidak memberi signifikan kepada objektif pengeluaran lesen, termasuk kontrak perjanjian perniagaan, maklumat kebankrapan dan dokumen lain.