Lelaki 27 Tahun Ditemui Maut Dua Kilometer Dari Lokasi Kereta Terbabas

Lelaki 27 Tahun Ditemui Maut Dua Kilometer Dari Lokasi Kereta Terbabas

0
SHARE

KOTA KINABALU: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki berusia 27 tahun susulan penemuan sebuah kenderaan terbabas di Jalan Kawakaan berakhir dengan penemuan mangsa dalam keadaan meninggal dunia, kira-kira dua kilometer dari lokasi kenderaan itu, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, PKPgB Noor Sherriyana Bohari berkata, mangsa ditemukan pasukan bomba pada jam 10.28 pagi pada hari kedua operasi SAR.

“Pasukan bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat di kawasan parit yang berhubung dengan anak sungai menggunakan kaedah water surface search.

“Mangsa berjaya ditemui pada jarak kira-kira dua kilometer dari lokasi kenderaan mangsa dilaporkan terbabas,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Noor Sherriyana, pihak bomba menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 4.55 petang, Rabu sebelum 13 anggota BBP Lintas tiba di lokasi pada jam 5.19 petang.

Pemeriksaan mendapati kemalangan membabitkan sebuah Honda WR-V yang dipercayai terbabas sendiri sebelum terjatuh ke dalam parit.

Bagaimanapun, pemeriksaan awal pasukan bomba mendapati tiada mangsa berada di dalam kenderaan atau kawasan sekitarnya.

Pasukan bomba bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) kemudian menjalankan pemeriksaan di sekitar lokasi sebelum operasi ditangguhkan pada jam 8.10 malam atas arahan polis dan akan disambung sekiranya terdapat petunjuk baharu.

Pada jam 7 pagi hari ini, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menghubungi Balai Polis Inanam dan dimaklumkan ketika itu belum ada perkembangan terkini berhubung kes berkenaan.

Operasi SAR hari kedua kemudian dimulakan apabila pasukan BBP Lintas bergerak ke lokasi pada jam 8.45 pagi sebelum pencarian dilakukan di kawasan parit yang bersambung dengan anak sungai mulai jam 9.21 pagi.

Mangsa akhirnya ditemukan pada jam 10.28 pagi dan disahkan meninggal dunia oleh pihak PDRM di lokasi sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Operasi yang membabitkan keseluruhan 28 anggota bomba dari BBP Lintas, BBP Penampang dan Zon Kota Kinabalu ditamatkan sepenuhnya pada jam 12 tengah hari selepas pasukan memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian.