EU Beri Peruntukkan Berjumlah 220 Euro Bagi Pindahkan Pesakit COVID-19 Antara Negara...

EU Beri Peruntukkan Berjumlah 220 Euro Bagi Pindahkan Pesakit COVID-19 Antara Negara Anggota

0
SHARE

BRUSSELS – Brussels beri peruntukkan bantuan berjumlah 220 juta euro bagi memindahkan pesakit COVID-19 dari negara anggota yang teruk terkesan dengan wabak itu, ke negara jiran yang memiliki lebihan katil hospital, kata Ketua Kesatuan Eropah (EU), Ursula von der Leyen, semalam.

Bercakap selepas mengadakan persidangan video dengan 27 pemimpin EU, Von der Leyen sekali gus menggesa negara Eropah mengumpulkan data COVID-19.

Beliau menjelaskan, ini kerana ‘penggunaan wang terbabit memerlukan perkongsian maklumat yang bagus sebagai pertukaran’.

Memetik laporan AFP, semua pemimpin EU turut diminta supaya memastikan penyelarasan lebih baik dalam melakukan tindak balas terhadap pandemik itu.

Eropah sekali lagi ‘dibadai’ wabak itu dengan gelombang kedua mencatatkan penularan pantas yang mengatasi senario jangkitan pada Mac dan April lalu.

Selain itu, mereka digesa tidak menutup sempadan kepada satu sama lain, sebaliknya bekerjasama serta berkongsi teknik terbaik mengawal virus berkenaan dan bersiap sedia untuk pengagihan vaksin kelak.

Von der Leyen yang juga seorang ahli epidemiologi sebelum terbabit dalam politik Jerman, menjelaskan bahawa ‘ujian besar-besaran’ adalah kunci mengatasi krisis itu.

Beliau sekali gus menyeru negara anggota EU supaya mengamalkan standard bersama untuk ujian antigen pantas.

“Ini akan membolehkan kita menggariskan ketetapan optimum untuk bentuk ujian yang berbeza…

“Ia juga akan membolehkan kita saling memperakui hasil ujian di seluruh EU. Ini adalah penting, terutama apabila perjalanan mustahak dilakukan,” katanya.

Menurut jurucakap pula, Canselor Jerman, Angela Merkel memaklumkan kepada semua pemimpin terbabit bahawa ‘pendekatan Eropah yang selaras adalah sangat penting dalam memerangi pandemik berkenaan’.

“Terutama bagi Jerman yang terletak di tengah Eropah, adalah penting untuk sempadan kekal dibuka, kitaran ekonomi berfungsi dan kita melawan pandemik ini bersama-sama,” katanya.