Polis Penampang Rampas 78 Liter Air Ketum, Tiga Lelaki Ditahan

Polis Penampang Rampas 78 Liter Air Ketum, Tiga Lelaki Ditahan

0
SHARE

PENAMPANG: Polis di sini berjaya merampas sejumlah 78,500 mililiter cecair disyaki air ketum dalam tiga siri tangkapan berasingan yang dijalankan menerusi Ops Bersepadu Mencegah Jenayah di daerah Putatan, semalam.

Tiga lelaki tempatan berusia antara 33 hingga 41 tahun diberkas, manakala rampasan membabitkan 53 botol plastik berisi air ketum yang dianggarkan bernilai RM1,320.00.

Menurut Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton, kesemua suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut dan disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga empat tahun atau kedua-duanya sekali.

“Polis memberi amaran keras bahawa kami tidak akan berkompromi dalam usaha membanteras sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang,” tegas Sammy.

Beliau turut menggesa orang awam supaya menyalurkan maklumat berkaitan jenayah dadah atau kegiatan air ketum kepada pihak polis bagi membantu membanteras masalah tersebut dari akar umbi.