WHO Maklumkan Kewujudan Virus Berbahaya ‘Marburg’

WHO Maklumkan Kewujudan Virus Berbahaya ‘Marburg’

0
SHARE
Virus Marburg adalah bawaan daripada kelawar kepada manusia yang mana boleh menyebabkan kematian...

GENEVA, SWITZERLAND – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan kes penyakit ‘Marburg’ yang melibatkan virus berbahaya seperti COVID-19 dan juga berkaitan Ebola yang mana disebarkan oleh haiwan kepada manusia telah disahkan berlaku di Guinea, Afrika Barat.

WHO dalam satu kenyataan pada Isnin baru-baru ini mengesahkan virus bawaan kelawar (Marburg) yang mempunyai kadar kematian sehingga 88 peratus (88%) itu dikesan daripada pesakit meninggal dunia di selatan wilayah Gueckedou pada 2 Ogos selepas dia menunjukkan gejala seperti demam panas dan sakit kepala yang teruk pada 25 Julai lalu.

Individu tersebut yang dirawat di klinik tempatan pada mulanya menjalani ujian malaria, namun sampel post mortem menunjukkan dia negatif Ebola dan positif Marburg.

Kes tersebut dikenal pasti di perkampungan berhampiran sempadan Sierra Leone dan Liberia.

Difahamkan, tiga ahli keluarga pesakit itu yang dikenal pasti sebagai kontak rapat berisiko tinggi kini dipantau pihak berkuasa sementara siasatan penuh dijalankan untuk mengenal pasti sumber jangkitan dan kemungkinan ada kontak lain.

“Virus Marburg berpotensi merebak secara meluas. Kita perlu menghentikan ancaman ini,” kata Pengarah Serantau WHO untuk Afrika, Dr Matshidiso Moeti.

Penemuan virus itu dibuat kira-kira dua bulan selepas WHO mengisytiharkan wabak kedua Ebola di Guinea yang meragut 12 nyawa sejak tahun lalu sudah berakhir.

Walau bagaimanapun, WHO menganggap penyakit Marburg sebagai ‘ancaman tinggi’ pada peringkat kebangsaan dan serantau, namun ancamannya dianggap ‘rendah’ pada peringkat global.