Kepimpinan Anwar Diiktiraf Pentas Global, Tersenarai Pemimpin Ke-8 Paling Berpengaruh Asia 2026

Kepimpinan Anwar Diiktiraf Pentas Global, Tersenarai Pemimpin Ke-8 Paling Berpengaruh Asia 2026

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Kelantangan dan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di pentas antarabangsa terus mendapat perhatian apabila beliau menduduki tangga kelapan dalam senarai pemimpin paling berpengaruh di Asia bagi tahun 2026.

Merujuk laporan Indeks Kuasa Asia 2026 keluaran badan pemikir Australia, Institut Lowy, Anwar mengumpul 46 mata, sekali gus meletakkan Malaysia sebaris dengan negara kuasa besar di rantau ini.

Pencapaian berada di kedudukan kelapan itu agak menonjol kerana Anwar merupakan salah seorang daripada hanya tiga pemimpin ASEAN yang berjaya membolosi kelompok lapan teratas. Beliau berada di belakang Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong di tempat ketiga dengan 74 mata, manakala Presiden Vietnam, To Lam di tangga ketujuh (50 mata).

Data penarafan yang turut dipaparkan saluran berita Australia, ABC Asia itu menilai sejauh mana seseorang pemimpin berjaya membawa suara serta mengemudi kepentingan diplomatik negara masing-masing ke peringkat global.

Kedudukan ini sedikit sebanyak membuktikan dasar luar Malaysia di bawah pentadbiran Anwar kini semakin berani dan dihormati, terutamanya dalam soal memperjuangkan isu kemanusiaan sejagat serta merancakkan kerjasama perdagangan serantau.

Bukan sahaja lantang bersuara di sidang kemuncak antarabangsa, peranan aktif Malaysia sebagai orang tengah bagi meredakan ketegangan geopolitik antara Kemboja dan Thailand turut mengukuhkan lagi pengaruh beliau sebagai tokoh pemimpin utama di rantau ini.

Bagi carta keseluruhan, Presiden China, Xi Jinping kekal di puncak dengan markah penuh 100 mata, diikuti Perdana Menteri India, Narendra Modi di tempat kedua (79 mata), manakala Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi berkongsi 74 mata bersama Lawrence Wong.

Turut berada dalam senarai lapan teratas ialah Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese di kedudukan kelima dengan 68 mata serta Presiden Korea Selatan, Lee Jae-myung di tangga keenam (52 mata).