Sarawak Tidak Kisah Pandangan Sesetengah Pihak Terhadap MA63 – Abang Johari

Sarawak Tidak Kisah Pandangan Sesetengah Pihak Terhadap MA63 – Abang Johari

0
SHARE

SIBU – Sarawak tidak akan ambil kisah pandangan sesetengah pihak terhadap usaha menuntut hak negeri itu di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) daripada kerajaan persekutuan.

Memetik laporan Bernama, apa yang penting, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, adalah sikap keterbukaan dan kesediaan mendengar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, dalam perkara tersebut.

Namun beliau menegaskan bahawa rundingan berterusan berkaitan hak itu dengan kerajaan Persekutuan harus berbekalkan fakta-fakta berkaitan yang sahih bagi menyokong tuntutan dan bukannya bersandarkan emosi semata-mata.

“Saya tidak mahu bersikap emosi dalam perkara ini dan ia tidak seharusnya menjadi suatu permainan untuk meraih populariti,” kata Abang Johari kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon 8 di sini hari ini.

Menurut beliau Perjanjian Malaysia 1963 adalah satu perjanjian yang suci di mana ia adalah sebuah perjanjian antarabangsa di bawah Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).

Abang Johari berkata sesetengah pihak khasnya pembangkang menganggap usaha kerajaan negeri itu merupakan sandiwara kerajaan negeri dan Barisan Nasional semata-mata menjelang pilihan raya umum ke-14.

Beliau sebaliknya menegaskan usaha mendapatkan kembali hak-hak Sarawak adalah untuk menjamin masa hadapan negeri itu.

Dalam ucapan perasmiannya pada mesyuarat itu, Abang Johari yang juga Presiden PBB, memetik ungkapan ‘Jangan Malaysia ibarat tebu, manis di pangkal, tawar di hujung’ yang pernah disebut oleh Tun Jugah Anak Barieng, seorang daripada tokoh dari Sarawak yang menandatangani Perjanjian Malaysia.

“Kita tidak mahu tebu itu menjadi pahit. Sekarang rasanya sudah agak masam-masam,” kata beliau sambil menambah usaha mendapatkan kembali hak-hak Sarawak yang terhakis itu adalah supaya keputusan untuk menyertai pembentukan Malaysia itu tidak dikesali oleh anak-anak Sarawak pada masa akan datang.