Jalinan Kerjasama WARISAN-UMNO Disifatkan Tidak Mustahil

Jalinan Kerjasama WARISAN-UMNO Disifatkan Tidak Mustahil

0
SHARE
Shafie
Shafie (kiri) beramah mesra dengan Bung Moktar (tengah) - ( Sumber Foto: Ihsan WARISAN )

KOTA KINABALU, SABAH – Parti Warisan (Warisan) menyifatkan menjalin kerjasama dengan UMNO Sabah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang bukan sesuatu yang mustahil.

Memetik sumber Harian Metro, Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah menjalin kerjasama dengan Umno Sabah sekiranya ia untuk kepentingan rakyat negeri ini.

“Kita duduk semeja (berbincang) dengan mereka (UMNO Sabah) untuk kepentingan wilayah Sabah dan rakyatnya.

“Bagaimana ia dapat diterjemahkan untuk dijadikan kenyataan? Saya nyatakan kepada Bung (Pengerusi Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin) bahawa kami di sini, kalau perlu kerjasama antara kita ialah untuk kepentingan rakyat Sabah,” katanya dalam sidang media selepas Perhimpunan Agung Tahunan Parti Warisan kali ke-6 bertempat di Dewan Hakka Likas, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Mohd Shafie berkata, beliau juga tidak mempunyai sebarang halangan sekiranya UMNO Sabah mempunyai hasrat yang sama untuk menjalin kerjasama bersama pihaknya.

“Jika itu hasrat mereka, tiada sebab untuk kami katakan tidak kerana kami percaya setiap parti di Sabah, bila tiba masanya akan bekerjasama dengan parti di Kuala Lumpur (Semenanjung Malaysia).

“Ini bukannya tentang WARISAN dan UMNO tetapi adalah untuk kepentingan Sabah,” katanya.

Sementara itu, Bung Moktar ketika ditemui dalam program sama berkata, pihaknya juga tidak mempunyai halangan menjalin kerjasama dengan WARISAN.

Menurutnya, walaupun setakat ini Umno Sabah belum menjalin kerjasama secara rasmi bersama WARISAN namun beliau mengakui kepentingan kerjasama di antara parti politik sebagai persediaan menghadapi PRN.

“Secara rasmi (kerjasama) belum namun kerjasama ini penting. Dalam hidup pun perlu ada kerjasama, suami isteri pun perlu ada kerjasama. Tidak ada kerjasama, tidak akan jadi (perkara yang ingin dicapai).

“Kerjasama mesti ada tapi bila, tidak tahulah,” katanya.

Perhimpunan Agung Tahunan Parti Warisan kali ke-6 yang berlangsung selama dua hari sejak semalam dihadiri lebih 3,000 perwakilan dari seluruh Sabah.

Bagaimanapun, kehadiran Bung Moktar bersama rombongan UMNO Sabah ke program terbabit telah mencuri tumpuan ramai.

Ketika ditanya pemberita mengenai kehadiran beliau ke program itu, Bung Moktar menjelaskan pihaknya memenuhi undangan daripada Mohd Shafie.