SEMPORNA: Seorang lelaki dilaporkan hilang selepas terlibat dalam insiden perlanggaran dua bot penumpang di perairan Seafest, di sini, pada 9 Januari lalu, dengan operasi mencari dan menyelamat (SAR) kini memasuki hari kedua pada kelmarin.
Mangsa, Rosman Kandau, 24, dipercayai terjatuh ke laut susulan kejadian berkenaan yang berlaku kira-kira jam 8 pagi, melibatkan dua bot penumpang dengan tujuh individu berada di atas kedua-dua bot tersebut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Atas Air Semporna, PBK I Mohd Akhimullah Adan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 3.30 petang melalui Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
“Seramai enam anggota BBP Atas Air Semporna telah digerakkan ke lokasi dan operasi SAR dijalankan bersama APMM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya.
Menurut beliau, hasil maklumat awal mendapati lima individu berada di bot pertama dan dua individu di bot kedua, dengan enam mangsa disahkan selamat manakala Rosman masih belum ditemui.
“Operasi SAR hari kedua bermula jam 8 pagi dengan pencarian dilakukan di sekitar lokasi kejadian menggunakan bot Kevlar, namun mangsa masih belum berjaya dikesan,” katanya.
Beliau berkata, operasi SAR ditangguhkan pada jam 5 petang dan akan disambung semula pada keesokan hari (hari ini) bergantung kepada keadaan cuaca dan laut.
Mangsa dikenal pasti sebagai bukan warganegara berbangsa Bajau Laut, dan usaha pencarian akan diteruskan sehingga sebarang petunjuk baharu diperoleh.






