RANAU: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Masidi Manjun mengarahkan tindakan segera termasuk kerja-kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan sistem saliran sungai susulan kejadian banjir yang melanda Kampung Mohimboyon dan Kampung Lipantai, di sini, Jumaat malam lalu.
Masidi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karanaan berkata, antara langkah awal yang telah diambil ialah pembersihan sistem perparitan, pemasangan paip pembentung baharu, penambahbaikan laluan aliran air serta penyelenggaraan kemudahan awam yang terjejas.
“Tindakan ini penting bagi mengelakkan kejadian banjir berulang dan memastikan keselamatan penduduk sentiasa terjamin, khususnya ketika keadaan cuaca tidak menentu,” katanya, di sini, semalam.
Dalam kejadian berkenaan, sebanyak 19 buah kenderaan yang terperangkap akibat laluan dinaiki air berjaya diselamatkan dengan bantuan sukarelawan pacuan empat roda daripada Kundasang Highland Four Wheel Drive Club (KH4WDC), Kilimu Garage (KGR) dan Red Army 4X4.
Masidi turut merakamkan penghargaan kepada pasukan sukarelawan terbabit serta pihak polis yang menjalankan pemantauan bagi memastikan keadaan di kedua-dua kampung berkenaan kekal terkawal.
Beliau menegaskan Pusat Khidmat DUN Karanaan akan terus bersiap siaga untuk memantau situasi banjir dan tanah runtuh serta menyalurkan bantuan sewajarnya kepada penduduk terjejas sekiranya hujan lebat berterusan.






