TAWAU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun maut manakala dua lagi cedera selepas motosikal yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di persimpangan lampu isyarat Batu 2, Jalan Apas, awal pagi kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.36 pagi itu, motosikal jenis Husky 150 SE ditunggang seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun bersama dua anak lelakinya berusia sembilan dan 13 tahun dari arah Bandar Tawau menuju ke Pekan Kunak.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, sebuah kenderaan pikap Toyota Hilux dipandu wanita berusia 63 tahun dipercayai bergerak dari Jalan Pantai menuju ke Pasar Sin On.
“Setibanya di persimpangan lampu isyarat Batu 2, lampu isyarat didapati berwarna hijau dan pemandu pikap telah memasuki simpang Jalan Bunga Raya. Secara tiba-tiba, motosikal dari arah bertentangan yang dipercayai ditunggang laju telah melanggar bahagian hadapan sebelah kiri kenderaan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, akibat pelanggaran itu pemandu pikap hilang kawalan sebelum terbabas ke lorong kanan, melanggar sebuah kereta Proton Saga yang diparkir dan seterusnya merempuh sebuah kedai gunting rambut.
Menurutnya, pembonceng motosikal berusia sembilan tahun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di zon merah Jabatan Kecemasan Hospital Tawau, manakala penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di bahagian dada dan perut, serta seorang lagi pembonceng cedera ringan. Pemandu pikap tidak mengalami kecederaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, ACP Jasmin menasihatkan pengguna jalan raya agar memperlahankan kenderaan ketika menghampiri persimpangan lampu isyarat dan sentiasa mengutamakan keselamatan.






