100 Murid Kurang Berkemampuan Terima Bantuan dalam Program Kembali ke Sekolah di...

100 Murid Kurang Berkemampuan Terima Bantuan dalam Program Kembali ke Sekolah di Kg Titingan

0
SHARE

TAWAU: Seramai 100 murid daripada golongan kurang berkemampuan menerima manfaat menerusi Program Kembali ke Sekolah yang berlangsung di Balai Raya Kampung Titingan, sekali gus membantu mereka memulakan sesi persekolahan 2026 dengan lebih bersedia.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, program berkenaan mencerminkan keprihatinan kerajaan dan sektor swasta dalam memastikan kebajikan pelajar terus terbela, khususnya mereka yang berdepan kekangan kewangan.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas itu, para pelajar menerima sumbangan berupa beg sekolah serta bantuan wang tunai bagi meringankan beban keluarga dan menyuntik semangat untuk kembali ke sekolah.

“Program seperti ini amat penting bagi memastikan tiada anak-anak tercicir daripada arus pendidikan hanya kerana masalah kewangan,” katanya menerusi kenyataan di laman Facebooknya, semalam.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Syarikat Al Nur Marketing Sdn Bhd yang diwakili Ali Anuar Alwi serta Syarikat Menawan Dunia Sdn Bhd selaku penganjur dan penyumbang utama program berkenaan.

Selain penyerahan sumbangan, program itu turut dimeriahkan dengan pelbagai cabutan bertuah yang disertai ibu bapa dan penduduk setempat, sekali gus mengeratkan hubungan antara pemimpin, sektor swasta dan masyarakat akar umbi.

Nizam berkata, kerajaan negeri akan terus memperkukuh komitmen dalam melaksanakan program kebajikan yang bersifat inklusif demi kesejahteraan rakyat dan pembangunan masyarakat secara berterusan.