LAHAD DATU: Polis menahan empat individu termasuk seorang wanita tempatan dalam beberapa operasi berasingan berkaitan penyalahgunaan dadah di sekitar Kampung Pisang, Jalan Bakawali, di sini, pada 9 Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP zulbaharin Ismail berkata, tangkapan dibuat oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) hasil risikan dan pemeriksaan di beberapa lokasi.
Menurutnya, dalam operasi pertama, polis menahan seorang lelaki warga asing dan seorang wanita tempatan di sebuah rumah tidak bernombor sebelum menemui satu paket plastik lutsinar berisi dadah disyaki syabu seberat kira-kira 0.27 gram.
Ujian saringan awal air kencing mendapati lelaki terbabit positif dadah, manakala wanita berkenaan negatif.
“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan, di sini pada Sabtu.
Dalam operasi kedua di lokasi sama, polis menahan seorang lelaki tempatan yang cuba melarikan diri ketika pemeriksaan di kawasan garaj sebuah rumah.
Suspek kemudian menyerahkan sekotak rokok yang mengandungi satu paket dadah disyaki syabu seberat 0.12 gram dan didapati positif dadah hasil ujian saringan awal.
Selain itu, satu lagi tangkapan berasingan turut dibuat melibatkan seorang lelaki warga asing yang disyaki menyalahgunakan dadah selepas ujian saringan air kencing mendapati suspek positif.
ACP Dzulbaharin menegaskan IPD Lahad Datu akan terus mempergiat operasi membanteras jenayah dadah dan menasihatkan orang ramai supaya menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu usaha penguatkuasaan.






