Warisan Hilang Sokongan Di Pantai Timur Sabah, Ramai ‘Fighter’ Sudah Keluar

Warisan Hilang Sokongan Di Pantai Timur Sabah, Ramai ‘Fighter’ Sudah Keluar

0
SHARE

KOTA KINABALU: Parti Warisan dilihat semakin kehilangan sokongan di kawasan Pantai Timur Sabah susulan ramai ahli akar umbi dan pemimpin tempatan meninggalkan parti berkenaan kerana kecewa dengan kepimpinan tertinggi yang didakwa gagal mendengar suara mereka.

Bekas Timbalan Ketua Wira Warisan Pusat, Ismail Sabran berkata ramai penyokong parti kini memilih untuk menyertai parti lain selepas melihat pencapaian serta hala tuju kerajaan negeri sedia ada yang dianggap lebih jelas dalam usaha membangunkan Sabah, melalui dasar Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Ramai yang datang sendiri, bukan dipanggil atau dipaksa. Mereka nampak sendiri usaha kerajaan sekarang menyelesaikan isu air, jalan dan pendidikan yang selama ini tertangguh,” katanya ketika ditemui SabahNews.

Beliau yang juga bekas Ketua Wira Warisan Tawau menjelaskan bahawa pengaruh Warisan di Pantai Timur yang suatu ketika dahulu dianggap kubu kuat, kini semakin merosot selepas ramai ahli lama dan pejuang parti meninggalkan perjuangan tersebut.

“Dulu Pantai Timur memang kuat, tapi sekarang ramai ‘fighter’ Warisan sudah keluar. Yang tinggal cuma harap kepada presiden. Saya yakin kekuatan Warisan semakin berkurang,” katanya lagi.

Pada Mac 2023, beliau bersama 1,500 ahli termasuk pemimpin daripada 30 cawangan DUN Apas dan Balung mengumumkan keluar Warisan setelah suara akar umbi tidak didengar kepimpinan parti.

Mengulas lanjut, Ismail yang juga Pengerusi Persatuan Muafakat Anak Bangsa Sabah (PMAB SABAH) turut menyifatkan kemarahan akar umbi terhadap amalan kronisme dan nepotisme dalam parti menjadi punca utama sokongan beralih kepada pihak lawan.

“Orang marah bila pelantikan dibuat berdasarkan kroni, bukan merit. Rakyat sudah rasa dua tahun pengalaman itu dan mereka tidak mahu ia berulang.

“Mereka (akar umbi) tidak perlu dipujuk untuk keluar. Mereka sendiri akan tinggalkan parti bila suara mereka tidak didengar,” katanya.

Ismail menjangka Warisan mungkin hanya mampu mempertahankan satu kerusi di kawasan Parlimen tertentu di Pantai Timur seperti Tawau dan Kalabakan, manakala majoriti kawasan lain dijangka memihak kepada kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 15 November ini sebagai hari penamaan calon, disusuli 25 November pengundian awal dan 29 November hari mengundi biasa bagi Pilihan Raya Umum Sabah Ke-17 (PRU17).