Enam Hari Hilang Dalam Hutan, Khairul Akhirnya Ditemui Selamat

Enam Hari Hilang Dalam Hutan, Khairul Akhirnya Ditemui Selamat

0
SHARE

KALABAKAN: Setelah enam hari dilaporkan hilang di hutan Batu 32, Jalan Kalabakan–Maliau Basin, seorang lelaki dikenali sebagai Khairul Saharin, 31, akhirnya ditemui dalam keadaan selamat oleh pasukan keselamatan pagi tadi.

Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, mangsa dijumpai sekitar jam 7.43 pagi oleh anggota Pasukan Gerakan Am (Platoon Tiger) di kawasan permatang setelah operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan sejak 16 Oktober lalu. 

“Mangsa kemudiannya dihantar ke Klinik Kesihatan Kalabakan menggunakan ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk menerima rawatan lanjut,” jelas kenyataan itu di sini, hari ini.

Kehilangan Khairul disedari selepas beliau gagal pulang ke tapak perkemahan pada 14 Oktober, ketika keluar memancing dan mencari hasil hutan bersama sepupunya.

Cubaan untuk menghubunginya melalui aplikasi WhatsApp tidak berjaya selepas mangsa memaklumkan bahawa bateri telefon bimbitnya hampir habis.

Operasi SAR bersepadu diketuai oleh Komander Operasi PBK II (KUP) Khalik Ali dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, melibatkan kekuatan enam anggota bomba serta penyertaan pelbagai agensi termasuk PDRM, APM, Pasukan Gerakan Udara (dron), unit K9, Ranger Komuniti, PBS Kalabakan dan lebih 70 orang penduduk kampung.

Selepas hampir seminggu usaha pencarian dalam keadaan cuaca tidak menentu dan kawasan hutan tebal, mangsa akhirnya berjaya dijumpai dalam keadaan stabil. 

Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.35 pagi.

Dalam pada itu, Ketua BBP Tawau, TPgB Jemishin Ujin, menyampaikan penghargaan kepada semua agensi dan komuniti setempat yang memainkan peranan penting sepanjang operasi tersebut.

“Kejayaan ini mencerminkan semangat kerjasama dan kesungguhan semua pihak dalam memastikan keselamatan mangsa,” katanya.