Jentera GRS Siapsiaga Hadapi PRU Sabah ke-17 – Nizam Seru Semangat #RumahKitaKitaJaga

Jentera GRS Siapsiaga Hadapi PRU Sabah ke-17 – Nizam Seru Semangat #RumahKitaKitaJaga

0
SHARE

KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, menyeru seluruh jentera Gabungan Rakyat Sabah (GRS) agar menggembleng tenaga dan memperkukuh semangat perjuangan selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri Sabah bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Sabah ke-17.

Beliau berkata, pelancaran rasmi jentera GRS menandakan bermulanya semula perjuangan besar untuk mempertahankan kestabilan dan kemajuan negeri di bawah panji Gabungan Rakyat Sabah. 

Katanya, kempen kali ini membawa mesej utama #RumahKitaKitaJaga dan #KitaJagaSabah sebagai simbol tanggungjawab bersama rakyat terhadap negeri ini.

“Sabah ini rumah kita, dan menjadi tanggungjawab kita untuk menjaganya. Kita turun padang dengan semangat #RumahKitaKitaJaga, memastikan negeri ini terus stabil, maju dan bersatu di bawah GRS,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, empat teras perjuangan GRS termasuk #SabahFirst, #SabahForward, #SabahProsper dan #SabahUnited, perlu dijadikan panduan dalam setiap gerak kerja jentera, dari rumah ke rumah dan dari hati ke hati rakyat.

“Semangat baharu kita ialah #SabahTanahAirku. Ia bukan sekadar slogan, tetapi lambang cinta dan kesetiaan kepada bumi Sabah,” tegasnya.

Nizam juga menggesa seluruh ahli dan penyokong menggunakan tanda pagar rasmi seperti #RumahKitaKitaJaga, #KitaJagaSabah, #SabahTanahAirku dan #GRS dalam setiap hantaran media sosial.

Beliau turut menegaskan bahawa kekuatan sebenar GRS terletak pada perpaduan dan keikhlasan jentera dalam memperjuangkan masa depan negeri, bukan sekadar menjelang pilihan raya, tetapi untuk generasi akan datang.