Tiga Lelaki Ditahan Berkait Kes Cedera dengan Senjata di Tawau

Tiga Lelaki Ditahan Berkait Kes Cedera dengan Senjata di Tawau

0
SHARE

TAWAU: Polis menahan tiga lagi lelaki tempatan bagi membantu siasatan berhubung insiden seorang lelaki cedera dipukul dengan tali pinggang dan diacukan pedang samurai dalam kejadian di kawasan T2@Apas, Takada, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, ketiga-tiga suspek berusia antara 30 hingga 38 tahun itu ditahan hasil risikan dan maklumat lanjut daripada dua suspek pertama yang telah ditahan minggu lalu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Menurut beliau, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Tawau berjaya menahan suspek di sekitar kawasan kedai-kedai Pusat Komersial Ba Zhong, Tawau kira-kira jam 2 petang, semalam.

“Kesemua suspek dipercayai terlibat secara langsung dalam kejadian yang menyebabkan mangsa, seorang lelaki berusia 32 tahun, mengalami luka pada pipi kiri dan sakit di bahagian belakang badan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 12.30 tengah malam pada 11 Oktober lalu ketika mangsa berada di hadapan sebuah kedai snuker di T2 Takada. Mangsa didatangi kira-kira lapan lelaki bersenjatakan tali pinggang dan pedang samurai sebelum dipukul tanpa sebab jelas.

Dua lelaki tempatan berusia 22 dan 23 tahun sebelum ini telah ditahan pada 15 Oktober lalu, dengan seorang daripada mereka didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

Tambah ACP Jasmin, semakan lanjut mendapati dua daripada tiga suspek terbaru mempunyai rekod lampau melibatkan kes jenayah berat dan kesalahan dadah, sementara seorang lagi merupakan penjawat awam negeri.

“Semua suspek kini direman bagi membantu siasatan lanjut. Polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu termasuk penjawat awam yang terlibat dalam kegiatan jenayah atau bertindak ganas.

“Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak mengambil tindakan sendiri dan segera melaporkan sebarang kejadian jenayah kepada pihak berkuasa,” tegasnya.