KOTA KINABALU: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) menegaskan pendiriannya untuk bergerak secara solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang dan menolak dakwaan kononnya parti itu sedang berunding menyertai blok politik baharu, Gerakan Bersatu Sabah (GBS).
Timbalan Presiden KDM, Datuk Wetrom Bahanda, menafikan laporan yang mendakwa beliau telah mengadakan pertemuan dengan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan, bagi membincangkan penyertaan KDM dalam GBS.
“Tidak benar (KDM akan sertai GBS). Saya tidak pernah berbincang dengan mana-mana pihak termasuk Datuk Jeffrey mengenai perkara itu,” katanya.
Menurut Wetrom, keputusan KDM untuk bertanding secara bersendirian dalam PRN akan datang dibuat selaras dengan kehendak akar umbi parti.
“KDM kekal dengan pendirian untuk bergerak solo, seperti yang dimahukan oleh akar umbi. Kami tidak akan membelakangi keputusan tersebut,” katanya.
Terdahulu, sebuah portal melaporkan bahawa sebuah blok politik baharu dikenali sebagai Gerakan Bersatu Sabah (GBS) sedang dirancang oleh Parti Progresif Sabah (SAPP) dan STAR, dua bekas parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Laporan itu turut memetik Jeffrey sebagai berkata bahawa beliau telah berbincang dengan beberapa pemimpin parti tempatan, termasuk KDM, mengenai kemungkinan menyertai GBS yang dijangka dilancarkan sebelum hari penamaan calon pada 15 November depan.
Jeffrey bagaimanapun dilapor berkata rundingan berkenaan masih belum dimuktamadkan dan sekiranya KDM menyertai GBS, pembahagian kerusi perlu diteliti semula bagi mengelak pertindihan dengan parti lain.






