Wanita Maut Dalam Kemalangan Libat Tiga Kenderaan di Kunak

Wanita Maut Dalam Kemalangan Libat Tiga Kenderaan di Kunak

0
SHARE

KUNAK: Seorang wanita tempatan maut manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Kunak–Semporna, pagi tadi.

Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kunak menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 pada jam 8.46 pagi.

Susulan itu, lima anggota bersama satu jentera FRT dan satu unit EMRS digerakkan ke lokasi kejadian, kira-kira tiga kilometer dari balai.

Komander Operasi, PBK II Ibrahim Ismail berkata, kemalangan melibatkan dua lori Hino tiga tan dan sebuah kereta Proton Wira. Empat mangsa berada di dalam kereta tersebut ketika kejadian.

“Seorang mangsa wanita berusia 44 tahun tersepit di bahagian tempat duduk pemandu dan dikeluarkan menggunakan peralatan rescue tools. Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tiga lagi mangsa, dipercayai bukan warganegara, berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba dan dibawa ke Hospital Kunak untuk rawatan lanjut. Namun, identiti mereka tidak dapat disahkan setakat ini.

Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.00 pagi selepas mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Menurut JBPM Sabah, operasi turut disertai dua anggota polis dan tiga pegawai perubatan.