KOTA KINABALU, SABAH – Lebih 3,000 individu dijangka menyertai acara Pesta Kaamatan tahunan di pusat beli belah Centre Point Sabah (CPS) sini.
Setelah menghadapi kekangan pandemik selama dua tahun, pihak pengurusan CPS mahu mengadakan acara pada kali ini yang bertemakan ‘Culture Syok’ secara lebih meriah untuk semua lapisan pengunjung.
Ketua Pemasaran CPS, Dymna Michael berkata, hiasan ilham tradisional etnik Kadazandusun dan Bajau sempena pesta menuai Kaamatan di dalam pusat beli belah itu akan lebih meriah daripada tahun lepas.
“Tema ‘Culture Syok’ adalah untuk mengingatkan kita betapa pentingnya perayaan Kaamatan.
“Kita harus menikmati perayaan itu bersama-sama tanpa menghiraukan perbezaan kita,” katanya dalam sidang media.
Beliau menambah bahawa pelbagai aktiviti akan diadakan sambil memelihara dan berkongsi pengalaman budaya kepada orang ramai.
“Tahun lepas, beberapa acara sempena Kaamatan diadakan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
“Beberapa acara diadakan secara dalam talian kerana peningkatan kes COVID-19 pada bulan Mei untuk keselamatan semua peserta.
“Namun begitu, pada tahun ini, ianya akan diadakan di dewan acara Tingkat Bawah dan Tingkat 4, Palm Square, dengan pematuhan ketat kepada SOP seperti tahun sebelumnya,” jelasnya.

Aktiviti menarik sepanjang bulan Mei itu termasuk Titan Showdown (7-8 Mei), Pertandingan Nyanyian Sugandoi (15 dan 22 Mei), Little Glam Unduk Ngadau (21 Mei) dan Pertandingan Karaoke Terbuka (9-12 dan 26 Mei).
Menurut Dymna, pertandingan Sugandoi dan karaoke terbuka adalah yang paling digemari pengunjung.
Katanya bagi karaoke terbuka, penentu pemenang hadiah RM 50 harian adalah sorakan daripada pengunjung pusat beli belah itu sendiri.
Keseluruhan hadiah berbentuk wang tunai bagi kesemua pertandingan berjumlah RM 12,000.
“Selain itu, kami akan menjalankan program penebusan Rayamaatan Julie’s Biscuit bermula pada 9 Mei di mana sejumlah 2,600 unit keropok keju boleh ditebus untuk pembeli yang membelanjakan lebih daripada RM100 dalam satu atau dua gabungan resit di kedai-kedai terpilih.
“Pembeli mesti menebus keropok pada hari pembelian yang sama di Kaunter Informasi, Tingkat Bawah.





