PENAMPANG, SABAH – Polis mencekup sepasang suami isteri disyaki pengedar syabu dalam dua operasi berbeza di Putatan dengan rampasan 466.07 gram pada Isnin.
Timbalan Ketua Polis Penampang, DSP Erwansyah Abdul Basir berkata rampasan dadah tersebut dianggarkan bernilai RM16,000.
Katanya, hasil tangkapan pertama operasi 4 petang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Penampang adalah seorang berusia 41 tahun.
“Ia telah berjaya membawa kepada tangkapan kedua iaitu seorang wanita, 34 tahun dan menjumpai satu peket plastik lutsinar yang telah disembunyikan berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenih syabu seberat 466.07 gram.
“Hasil pemeriksaan ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua saspek positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC) atau ganja,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Jika didapati bersalah, pesalag boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang 15 kali.
“Kes juga turut disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) akta yang sama.
“Pihak polis menyarankan masyarakat supaya tidak terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan terus menjadi mata serta telinga polis dalam menyalurkan maklumat bagi membanteras gejala dadah,” tambahnya.