KUALA LUMPUR – Azwan Ali hari ini melancarkan hashtag #jahanamkanazminali bagi menumbangkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14).
Memetik laporan KL Xpress, adik kepada Azmin itu turut menyatakan beliau akan berganding dengan Pengerusi Gabungan NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md Yunos yang juga Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar berkempen di kerusi yang bakal ditandingi Naib Presiden PKR itu.
“Aku lancarkan hastag #jahanamkanazminali. Aku akan pastikan dia tumbang di DUN Bukit Antarabangsa dan Parlimen Gombak, dia akan kalah pada pilihan raya akan datang,” katanya.
Menurut Azwan, abang kandungnya itu adalah seorang yang lupa daratan dan tidak mengenang nasihat arwah bapanya dahulu supaya hormat kepada orang lebih tua walaupun dalam berpolitik.
“Dia lupa apa amanah arwah Haji Ali, orang sehebat Tan Sri Noh (Omar) pun dia nak lawan. Apa masalah dia, hormatlah sikit orang lama-lama.
“So (jadi) kalau kau ingat kau Menteri Besar hebat sangat, biar aku jatuhkan, menteri lain tidak berani jatuhkan meh sini aku ni adik kau sendiri yang jatuhkan,” kata selebriti itu kepada media di PWTC, hari ini.
Menjawab mengenai kenapa baru sekarang beliau menyatakan pendirian untuk menentang Azmin, Azwan menjelaskan masanya telah tiba selepas telah lama dirinya bersabar dan memendam rasa ekoran tindak-tanduk abangnya itu yang disifatkan tidak mengenang budi.
“Kan aku dah kata, lima tahun aku bersabar, menyokongnya sehingga aku di banned RTM dan hilang banyak sumber rezeki, jadi apa yang aku dapat? Azmin langsung tidak mengenang jasa dan satu panggilan telefon pun aku tak pernah dapat daripadanya nak ucapkan terima kasih.
“Jadi biar adik dia sendiri yang membongkarkan rahsia dia yang selama ini banyak perkara dinafikan oleh dia. Nafi sana, nafi sini dan aku akan bongkarkan satu persatu rahsia dia,” katanya sebak.