BEKAS RATU CANTIK MENGAKU TIDAK BERSALAH TUMBUK POLIS DAN GUNA DADAH

BEKAS RATU CANTIK MENGAKU TIDAK BERSALAH TUMBUK POLIS DAN GUNA DADAH

0
SHARE
Kohinoor (kanan) menutup muka dan rakannya Shen Tying mengaku tidak bersalah atas perruduhan menumbuk anggota polis dan menggunakan dadah di Mahkamah Majistret di sini hari ini (10 Julai)...

PETALING JAYA – Seorang bekas ratu cantik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana didakwa menumbuk anggota polis dan menggunakan dadah berbahaya ketika ditahan di Sekatan Jalan Raya (SJR), malam tadi.

Walau bagaimanapun, Kohinoor Damodaran Kaittiani, 29, membuat pengakuan tidak bersalah terhadap kedua-dua dakwaan atau pertuduhan itu sebagaimana yang telah dibacakan terhadapnya dihadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam dengan menumbuk Koperal Sharularifin Sarmadan di Jalan Universiti di sini pada jam 3 pagi, 8 Julai lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Wanita itu turut didakwa menggunakan dadah jenis Tetrahydrocannabinol di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, di sini, jam 2 petang, pada tarikh sama.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 akta sama yang memperuntukkan penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya dan pengawasan tidak lebih tiga tahun.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Lau Chia Xin menawarkan ikat jamin RM5,000 masing-masing bagi setiap pertuduhan itu.

Bagaimanapun tertuduh dalam rayuannya menerusi peguam, Datin Raj Preet Kaur memohon mahkamah mengenakan ikat jamin yang rendah dengaan alasan perniagaan restoran yang diusahakan tertuduh tidak dapat lagi beroperasi berikutan perlaksaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 bagi pertuduhan pertama dan RM1,000 bagi pertuduhan kedua serta menetapkan 6 Oktober ini bagi sebutan semula kes.

Dalam prosiding sama, rakan Kohinoor, Quek Shen Tying, 33, turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan dadah jenis sama pukul 2.15 petang pada tempat, tarikh sama yang juga memperuntukkan seksyen dan hukuman yang sama.

Mahkamah kemudian membenarkan Shen Tying diikat jamin RM1,500 dan menetapkan 1 Oktober ini bagi sebutan semula kes.

Sebelum ini, media tempatan juga turut melaporkan seorang wanita yang juga bekas ratu cantik telah ditahan selepas bertindak merempuh SJR dan menumbuk anggota polis dalam satu kejadian di Lebuh Raya Persekutuan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.10 pagi itu, wanita yang berusia 28 tahun itu turut dikatakan bertindak agresif dan dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol serta dadah.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata, wanita berkenaan memandu kenderaan tersebut bersama seorang rakan wanita dari arah ibu negara menghala ke Petaling Jaya.